19 terkorban kilang mercun meletup

Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam letupan kilang mercun di India, lewat petang semalam.

Letupan yang berlaku di wilayah Virudhunagar, dianggap antara insiden terburuk pernah berlaku di negeri selatan Tamil Nadu.

Pegawai tempatan, R Kannan memberitahu AFP bahawa angka kematian mungkin bertambah.

“Setakat ini 34 orang cedera dan menerima rawatan. Ada antara mereka yang melecur teruk,” katanya.

Kannan berkata, terdapat 74 orang di dalam kilang itu ketika letupan berlaku.

Menurut media tempatan, kilang berkenaan beroperasi secara haram dengan portal berita, The Newsminute mendedahkan pemiliknya telah melarikan diri.

Polis sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengesan punca kejadian.

Sementara itu, Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan pampasan 200,000 rupees (RM11,137.74) kepada keluarga mangsa yang maut.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/02/674113/19-terkorban-kilang-mercun-meletup