Aktiviti meneroka gua atau ‘caving’ bukan sekadar menyeronokkan, malah semakin mendapat perhatian masyarakat dan para pelancong.
Jom kami senaraikan 7 guan menarik di Malaysia yang patut korang terokai.
7. Gua Hantu Menari. Merapoh Pahang.
Namanya sahaja dah menyeramkan. Jika korang berada atau hampir di daerah Kuala Lipis, Gua Merapoh yang terletak di Kampung Merapoh ini mungkinnya satu destinasi unik yang bakal menarik keterujuaan korang.
Dalam lembaran info, dikatakan Gua Merapoh di Pahang ini memiliki lebih 150 pintu gua, namun demi keselamatan pengunjung hanya 12 pintu gua sahaja yang dibuka. Tambah lagi, pada tahun 2015 penemuan fosil baharu sedang menjalani ujian kaji selidik.
7 gua yang menarik untuk diterokai ada di Malaysia
Paling ketara tentang keunikan Gua Merapoh adalah tentang lukisan orang lidi dan bintang yang menghiasi dinding-dinding gua. Hasil daripada itu menunjukan pada suatu ketika dahulu, Gua Merapoh pernah menjadi tempat tinggal manusia prasejarah di situ.
Tidak hanya itu, malah penemuan fosil cengkeran siput di Gua Merapoh mewujudkan satu teori yang berpendapat mungkin pernah terjadi ledakan kerak bumi di bahagian laut yang melonjak ke permukaan.
Uniknya, dipintu masuk gua ini terdapat dua pacak tiang seri seolah olah membentuk pintu masuk utama. Setakat ini hanya jarak sedalam 400m telah diterokai.
6. Gua Kelam. Perlis.
Bagi pelancong atau pengembara yang memilih Kangar sebagai destinasi percutian, Gua Kelam yang terletak di utara Semenanjung yang wajib dikunjungi disebabkan keunikan dan keindahannya. Tidak keterlaluan untuk menamakan Gua Kelam antara gua batu kapur tercantik di Malaysia.
Di dalam gua ini terdapat terowong yang panjangnya 370m dan terletak berhampiran pekan kecil Kaki Bukit, kira-kira 33km di utara Kangar, Perlis. Terowong inilah yang menjadi antara tarikan pengunjung untuk meneroka Gua Kelam. Dinamakan Gua Kelam sempena keadaan dan kedudukannya di kaki bukit, selain suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua ini.
Kelam mengikut loghat utara bermaksud gelap. Mengikut fakta sejarah pula, nama Gua Kelam diberikan oleh pelombong bijih timah suatu ketika dahulu sempena kegelapan gua itu sendiri.
5. Gua Tempurung. Perak.
Gua Tempurung ialah sebuah gua batu kapur yang terletak di Gopeng, Perak, Malaysia. Namanya diambil sempena bentuknya seperti tempurung kelapa. Panjang gua ini mencapai 1.9 km dan dipercayai telah wujud sejak 8000 SM lagi.
Gua Tempurung merupakan salah satu gua batu kapur terbesar di Semenanjung Malaysia. Gua Tempurung merupakan sebuah gua yang menjadi tumpuan pelancong yang merentasi satu kilometer dari Sungai Siput sehingga Kuala Dipang, dan terdiri daripada lima siling kubah yang berbentuk tempurung.
Kerajaan negeri Perak telah memelihara dan memulihara kawasan gua ini supaya lebih menarik dan mesra pelancong. Gua gua kini dilengkapi lampu , tangga dan titi serta kemudahan awam lain turut disediakan. Bagi mereka yang suka aktiviti lasak, acara meredah sungai dalam gua turut diadakan.
Selain menyimpan khazanah alam, gua ini turut tertulis dalam sejarah Malaysia. Gua ini menjadi tempat persembunyian komunis pada masa dahulu daripada 1950 hingga 1960. Manakala semenjak daripada tahun 1970, Gua Tempurung telah dijadikan lokasi melombong bijih timah.
4. Gua Rusa, Taman Negara Gunung Mulu. Sarawak.
Gua Rusa atau gua payau, merupakan sebuah gua yang terletak di Taman Negara Gunung Mulu. Nama gua payau adalah dari bahasa puak Penan dan Berawan bagi Gua Rusa, kerana rusa sering berlindung di dalam gua tersebut pasa satu masa dahulu.
Gua Rusa terletak di kedudukan terpencil tetapi mudah dicapai dengan hanya berjalan kaki ini, amat sesuai bagi korang yang suka kan cabaran dan pengembaraan lasak.
Gua Rusa juga merupakan laluan gua terbesar di dunia, dan keluasan gua ini amat menakjubkan, dengan ukuran 2 km panjang dan tidak kurang dari 90 meter tinggi pada titik terendahnya. Salah satu tarikan yang terdapat pada gua ini adalah bongkah batu yang memiliki bentuk
menyerupai Abraham Lincoln dalam bayangan matahari, apabila dilihat dari dalam gua.
3. Gua Air Jernih, Taman Negara Gunung Mulu. Sarawak.
Gua ini dikenali sebagai salah satu sistem gua yang terpanjang di Asia Tenggara dengan kepanjangan yang dikatakan melebihi 200 kilometer. Untuk sampai ke Gua Air Jernih ini, para pengunjung boleh memasuki melalui Taman Negara Gunung Mulu sebelum menyusuri Sungai Melinau dengan menaiki bot panjang dan melalui kawasan perkampungan etnik Penan.
Apabila tiba di Gua Air Jernih, korang pasti akan teruja dan terpesona dengan keindahan serta kejernihan air nya yang sesuai dengan nama diberi. Korang juga akan diberi peluang untuk mencelup kaki di sungai gua ini sambil menikmati kehijauan alam di sekeliling.
Namun korang perlu ingat, untuk berkunjung ke Gua Air Jernih ini, adalah amat penting untuk korang mengikuti pemandu arah kerana gua ini mempunyai 80 anak sungai yang bersambung-sambung dan boleh membuatkan korang mudah tersesat.
2. Gua Nasib Bagus. Mulu Sarawak.
Gua yang juga terletak di Gunung Mulu ini menempatkan ruangan bawah tanah semula jadi yang terbesar di dunia yang dikenali sebagai Sarawak Chamber. Untuk sampai ke Gua Nasib Bagus ini, pengunjung perlu melalui pelbagai jenis laluan.
Dengan bantuan pemandu arah dan juga beberapa skil tambahan seperti berenang dan juga daya ketahanan yang tinggi, para penggemar aktiviti meneroka gua pastinya akan menikmati pengalaman yang indah setibanya korang di gua ini.
Namun begitu, persediaan yang rapi adalah sangat penting sebelum korang memulakan ekspedisi yang mencabar ke Gua Nasib Bagus ini.
1. Gua Niah . Miri Sarawak.
Gua Niah ialah sebuah gua terletak di pedalaman bandar Miri, Sarawak, Malaysia. Gua ini merupakan gua yang terbesar dan tertua di Malaysia malah merupakan antara gua batu kapur yang terbesar di dunia. Kawasan sekeliling ia turut telah diwartakan sebagai tapak bersejarah di bawah kuasa Muzium Sarawak.
Gua Niah juga merupakan taman negara Sarawak terkecil, tetapi merupakan yang paling penting dan menarik minat pelancong. Ini adalah kerana di Gua Niah telah dijumpai fosil manusia yang berusia 40 ribu tahun dahulu sekali gus menjadikannya sebagai tapak awal kehadiran manusia di Asia Tenggara. Selain itu jumpaan perkakasan manusia purba ini telah menjadikan Gua Niah sebagai tapak kaji purba terpenting di dunia.