Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini mempersoalkan sama ada nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah agar ahli politik menghentikan politik dipatuhi atau tidak.
Hadi juga bertanya sama ada ahli Parlimen mematuhi nasihat baginda agar tidak bertindak secara bertanggungjawab.
“Muhasabah perlu dilakukan dengan ikhlas, sejauh mana politiking diberhentikan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab tiada dilakukan.
“Pemantauan yang serius juga perlu dilakukan – adakah kedua-dua tingkah laku yang diberikan amaran tersebut dilaksanakan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Hadi berkata dia menyerahkan kepada masyarakat umum untuk membuat penialian sendiri berkenaan perkara itu.
Sultan Abdullah memberikan peringatan itu ketika menolak keperluan pengisytiharan darurat yang diminta kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, baginda memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung Covid-19.
“Al-Sultan Abdullah turut berpendapat tiada perlunya ahli-ahli parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada,” katanya pada 25 Oktober lalu.
Usaha pengisyitharan darurat itu diambil susulan ketidaktentuan berterusan dalam negara dan ketika Muhyiddin berdepan desakan daripada terutama daripada BN yang mengancam untuk menarik balik sokongan.
Mesyuarat Umno dan ahli Parlimen BN dibuat susulan kegagalan itu membuat keputusan untuk kekal menyokong kerajaan PN tetapi menggesa penambahbaikan kerjasama berdasarkan nilai penghormatan dan konsensus politik.
Dalam kenyataan itu, Hadi turut mengkritik media yang didakwanya menyiarkan laporan bernada provokasi di saat penularan Covid-19.
Anggota Parlimen Marang itu turut berkata ada media yang “berpenyakit cirit-birit secara tidak terkawal”.
“Media juga perlu dikawal dengan baik pada masa bencana Covid-19 sedang melanda, agar mereka tidak menyiarkan laporan dan ulasan panjang secara provokasi halus.
Sehingga boleh mengakibatkan berlaku perkara sama seperti demonstrasi di Thailand terhadap raja mereka,” katanya merujuk protes yang sedang melanda negara itu terhadap Raja Maha Vajiralongkorn dan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha.
Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/548462