Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil berpendapat dakwaan akaun rahsia itu perlu disiasat oleh pihak berkuasa supaya tindakan undang-undang diambil dan ia dapat menjadi pengajaran kepada semua parti politik di negara ini.
“SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) harus menyiasat sumber akaun ini dan dedahkan kepada umum jumlah wang dalam akaun tersebut dan tujuan mengapa ia diwujudkan.
“Persoalan juga timbul oleh kerana terdapat permohonan oleh pihak kerajaan untuk membekukan dan merampas wang Umno kerana didakwa daripada sumber pengubahan wang haram.
“Maka dakwaan akaun rahsia ini juga perlu disiasat sama ada bersumberkan yang sama atau daripada transaksi lain,” katanya kepada Malaysiakini.
Pemimpin Amanah itu berkata ahli Umno juga perlu mempersoalkan mengapa ia tidak diaudit dan dirahsiakan.
“Dalam keadaan ada ahli Umno yang tergolong dalam B40, yang hidup susah, adakah akaun ini membantu mereka atau digunakan untuk tujuan tertentu?
“Sebagai sebuah parti politik yang tertakluk kepada peruntukan Akta Pertubuhan 1966, Umno tidak boleh diberikan keistimewaan atau kekebalan daripada sebarang siasatan,” katanya.
Pasukan pendakwaan – yang diketuai oleh DPP Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi – berkata terdapat akaun rahsia yang tidak diaudit yang disimpan oleh Umno di sebuah bank di Malaysia.
Mereka berpendapat keberadaan akaun yang tidak diaudit itu merupakan kesalahan mengikut Akta Pertubuhan 1966.
Justeru katanya tiada keperluan bagi Najib Razak menyimpan sejumlah besar dana dalam pelbagai mata wang asing secara peribadi.