Ramai pihak termasuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyelar kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) boleh diadakan kerana merentas negeri telah diizinkan mulai 7 Disember lalu.
Kata Zahid, PRU-15 perlu dilangsungkan segera agar rakyat dapat memilih kerajaan yang sah, dan stabil berbanding sekarang.
Mengadakan PRU-15 tidak kena pada masanya kerana negara masih menghadapi ancaman berterusan Covid-19 dengan kes harian tertinggi ialah 3,027 kes pada 7 Januari lalu serta banjir besar yang kelihatan seperti mengulangi tragedi bah kuning 2014!
Alasan Zahid juga, kata mereka, kelihatan hanya untuk kepentingan Umno. Mantan anggota Majlis Pimpinan Tertenggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin mendakwa desakan Umno agar Parlimen dibubarkan segera lebih bersifat peribadi sesetengah pemimpinnya.
Menurut Kadir, ketika ini beberapa pemimpin Umno sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah, dan berdepan kemungkinan dipenjarakan jika didapati bersalah.
Jadi, bagi Umno, kata Kadir, gabungan mana yang akan disertainya untuk mencapai kemenangan dalam PRU-15, akan menyelamatkan pemimpin terbabit.
Tegas Kadir, pilihan raya yang dituntut-tuntut itu lebih untuk mereka daripada untuk Umno, dan rakyat jelata. Katanya, tiada siapa yang rela masuk penjara.
Ketika Perikatan Nasional (PN) masih menjadi kerajaan dengan sokongan majoriti yang sangat tipis, Umno berkali-kali menyatakan keinginan mereka agar PRU-15 diadakan segera.
Pada masa sama, ‘akar umbi’ Umno juga dikatakan mendesak hubungan parti itu dengan Bersatu ditamatkan, seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Kuala Lumpur, 6 Disember lalu.
Usul itu, kata Umno, akan dibahas dan diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno pada 31 Januari nanti.
Bersatu – yang turut bermesyuarat pada 6 Disember, meminta semua pihak yang menjalin hubungan dengan PN menghormati keadaan itu, dan berpendapat PRU-15 belum sesuai diadakan sekarang.
Pun begitu, berdasarkan kenyataan Umno dalam mesyuarat MT itu, sebenarnya masih banyak persoalan yang belum terjawab, selain gerakan dalam kalangan parti, serta individu tertentu dalam parti akan berlanjutan.
Tambah Kadir yang juga mantan penasihat media Tun Dr Dr Mahathir Mohamad, berdasarkan pendirian rasmi Umno yang dinyatakan itu, tiada perubahan kerajaan akan berlaku sehinggalah PRU15 diadakan. Ertinya, Umno kekal dalam Kerajaan PN.
Walau bagaimanapun, kata Kadir, ini bukan juga muktamad kerana ahli-ahli Umno secara perseorangan boleh mengadakan rundingan rahsia dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu kekal sebagai Perdana Menteri (PM), dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menjadi PM.
Annuar Musa
Saya tertarik mengaitkan isu PM dan Anwar ini dengan perkembangan mutakhir dalam Barisan Nasional (BN).
Menerusi satu mesyuarat di ibu pejabat Umno pada 5 Januari lalu, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung BN. Keputusan itu dibuat oleh Zahid yang juga Pengerusi BN.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan (Ahli Parlimen Pontian) dilantik menggantikan Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan. Ketika ditemuramah, Ahmad mengatakan Annuar digantikan, bukan dipecat.
Walaupun ditempelak oleh mantan PM yang belum menjalani hukuman penjara, Datuk Sri Najib Tun Razak agar tidak membuat fitnah, Annuar tetap mengadakan sidang media.
Paling menarik, dalam sidang media pada 6 Januari lalu, Annuar mendedahkan sepucuk surat perakuan bertulis menyatakan sokongan Zahid, dan Najib kepada Anwar sebagai PM kesembilan, yang didakwanya telah disahkan oleh banyak pihak.
Perakuan itu dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus bertujuan menjatuhkan Kerajaan PN. Annuar tidak dapat menerimanya kerana jelas melanggar ketetapan ‘no Anwar, no DAP’. Jadi, beliau enggan terus bersekongkol dengan Zahid.
Perkembangan ini terus memperlihat, dan mengesahkan perangai Umno, yang berasa dirinya semakin kuat, dan mahu berkuasa mutlak sama seperti sebelum kalah dalam PRU-14.
Dari satu segi lain, saya melihat ini sebagai kejayaan Anwar meretakkan – jika pun tidak memecahbelahkan Umno. Pemimpin Umno-BN mula bertelagah dan tidak sekata. Ini boleh menambahkan kegoyangan Kerajaan PN.
Ada pula yang menganggap pengakuan Annuar dengan surat itu mengesahkan bahawa Anwar memang mendapat sokongan yang mencukupi sebagai PM kesembilan.
Cuma, mungkin kerana belum masanya (walaupun ada penyokong dan pemimpin PH tidak bersetuju dengan cara kenaikan Anwar hasil gabungan bersama-sama pemimpin kleptokrat), Anwar masih Ketua Pembangkang atau pemimpin de facto PH.
Kini, bagaimanakah pendirian ahli Umno, terutama akar umbi terhadap Zahid, dan Najib? Baik atau buruk, kedua-duanya pemimpin besar Umno.
Ekoran pendedahan sokongan Zahid itu, Pertubuhan Gerak Ekonomi Melayu Keramat (GEMK) telah membuat laporan polis pada 8 Januari lalu.
Laporan polis tersebut dibuat oleh Ketua Penerangannya, Zulhafiz Hanafiah di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang.
Menurut Zulhafiz, GEMK membuat laporan polis kerana surat yang tular itu benar, dan meminta pihak polis menyiasat kesahihan surat berkenaan dengan segera.
GEMK, tambah Zulhafiz, bimbang keadaan politik yang tidak stabil disebabkan olehnya mengganggu kelancaran perkembangan ekonomi negara. Apabila ekonomi tidak stabil, negara luar juga tidak berminat untuk melabur di negara kita.
Tegas Zulhafiz, rakyat memang berhak mengetahui perkara sebenar kerana ia melibatkan parti politik pemerintah negara, dan demi kelangsungan kestabilan dalam PRU15.
Umno dan Bersatu terus berbalah ketika Covid-19 sedang mengganas dan banjir besar melanda negara.
Sementara itu, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menggambarkan Umno melalui jalan mati, dan mendakwa ia seperti terikat dengan permainan pihak tertentu.
Menyorot semula kejatuhan Umno dalam PRU14 oleh PH yang terdiri daripada Bersatu, PKR dan DAP, Jazlan menyarankan Umno menentukan hala tujunya.
Jazlan bertanya mengapa Umno harus mengikat diri yang akan membunuh diri sendiri, atau akan dibunuh. Adakah dengan keadaan sekarang, tanya beliau lagi, Umno menjadi lebih kuat.
Umno, tegas Jazlan, perlu membuat pilihan jalan mana mesti dilalui demi meletakkannya kembali di atas, walaupun terpaksa mengambil sedikit masa kerana jalan yang dilalui sekarang ialah jalan mati.
Pada 4 Januari lalu, Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang menggesa kerajaan PN membubarkan Parlimen pada bulan ini, atau beliau melepaskan jawatan dalam kerajaan.
Esoknya, Jazlan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia. Ia dilihat sebagai langkah drastik kerana Jazlan pada mulanya memberi tempoh sehingga penghujung Januari kepada PN.
Selain kerana Covid-19 dan banjir buruk, siapalah sangat Jazlan hingga kata duanya wajar didengari Kerajaan PN?
Bersatu dan Umno kembali mengalami pergolakan, antaranya dengan 189 daripada 191 bahagian Umno dilaporkan membuat keputusan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.
Namun demikian, Annuar berkata pada 6 Januari lalu, beliau dimaklumkan bahawa 99 bahagian secara rasminya membuat usul sedemikian untuk terus menolak Bersatu.
*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.
Sumber:https://malaysiadateline.com/annuar-sahkan-anwar-cukup-sokongan-jadi-pm/