Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata kerajaan sepatutnya memberikan komputer riba kepada 150,000 pelajar secara percuma bukannya pinjaman.
Beliau berkata, tindakan kerajaan memberikan pinjaman komputer riba itu menunjukkan ketidakpedulian kepada rakyat.
“Kita dengar di sidang Parlimen dulu iaitu sediakan peruntukan dan beli.
“Kemudian kementerian kata akan sediakan dan mulakan secara pinjaman,” katanya ketika menyumbangkan 1,000 telefon pintar percuma kepada pelajar di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pagi ini saya di Port Dickson untuk menyampaikan bantuan peranti pintar kepada mereka yang memerlukan dengan kerjasama Yayasan YTL. pic.twitter.com/tWBiGmHJFp
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) February 10, 2021
Sebelum ini, media melaporkan pada Belanjawan 2021 kerajaan berjanji menyediakan 150,000 komputer riba kepada pelajar.
Bagaimanapun, pelajar cuma akan diberikan komputer itu secara pinjaman.
Hari ini ikhtiar Sdr @anwaribrahim utk warga Port Dickson mengedarkan 1,000 unit telefon pintar versi Android secara percuma kpd warga yg memerlukan.
Semoga anak2 di Port Dickson dpt manafaat dari ikhtiar ini utk meneruskan pembelajaran di rumah secara aman. pic.twitter.com/t91Lxep4BX
— Rashid Yusoff (@RashidYusoff11) February 10, 2021
Prosedur pemilikan komputer riba, tablet dan sambungan data melalui Cerdik adalah mirip kepada program Skim Pinjaman Buku Teks.
Presiden PKR itu berkata, kerajaan tidak faham masalah rakyat ketika ini seperti orang susah yang berpendapatan rendah (B40), pengangguran bertambah, kerja sementara dan pendapatan yang merosot.
Beliau mempersoalkan mengapa kerajaan mahu membebankan lagi dengan pembelian komputer riba.
“Kalau dalam kalangan pendapatan tinggi tidak apa. Tetapi B40 malah berpendapatan sederhana (M40) juga rasa tekanan.
“Jika mutu pendidikan terus macam ini, akan melemahkan terutama dalam kalangan pelajar miskin bandar dan desa,” katanya.
Pada 6 Nov tahun lalu, seramai 150,000 murid di 500 sekolah rintis dilaporkan akan menerima komputer riba bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.
Bagi merealisasikan bantuan itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang RM150 juta yang disalurkan ke Tabung Cerdik.