BIASA kita lihat pengguna internet terutama remaja menggunakan perkataan atau istilah “crush” menerusi media sosial. Kalau dari segi terjemahan rasmi secara langsung dari Bahasa Inggeris, crush bermaksud memecahkan atau menghancurkan.
Namun istilah ‘crush’ yang digunakan oleh kebanyakkan warga media sosial bukan merujuk kepada maksud itu, sebaliknya ia sering dikaitkan dengan pasangan yang diminati atau disukai dalam diam.
Jadi apa sebenarnya maksud crush yang sering digunakan oleh mereka?
Jika kita semak dalam daftar bahasa rasmi Bahasa Inggeris menerusi dictionary online. Terdapat empat maksud bagi perkataan ‘crush’ di mana dua daripadanya merujuk kepada perbuatan (verb), manakala dua lagi merujuk kepada sifat (noun) sesuatu.
Maksud ‘crush’ dari segi perbuatan (verb).
Maksud yang pertama ialah menekan atau memampatkan, dan memicit sesuatu menggunakan daya bagi memecah, menghancurkan atau merosakkan rupa bentuk sesuatu.
Maksud yang kedua pula ialah menggunakan kekerasan untuk menundukkan atau mengalahkan pihak tertentu.
Maksud ‘crush’ dari segi sifat (noun)
‘crush’ membawa maksud sekumpulan orang ramai yang berkumpul bersama dalam suatu kawasan secara bersesak dan berhimpit-himpit.
Selain itu ada istilah tidak rasmi yang digunakan dalam perbualan harian dan pergaulan. Istilah inilah yang dipercayai sering digunakan di media sosial oleh netizen.
Crush juga membawa maksud “Perasaan suka atau ghairah yang bersifat tiba-tiba terhadap seseorang, terutama individu yang sukar untuk didapatkan,”
Justeru ia sering kali merujuk perasaan suka dan ghairah terhadap artis, pelakon dan selebriti yang menjadi kegilaan ramai.
Perkataan itu juga boleh digunakan untuk menggambarkan perasaan “cinta tak berbalas” terhadap seseorang yang mungkin tidak menyukai kita.
Oleh kerana istilah ini bukanlah istilah rasmi dalam daftar kata bahasa Inggeris, maka jangan pula anda gunakan dalam surat-surat rasmi atau tulisan yang bersifat formal.
Penggunaan bahasa dalam sesuatu bangsa akan sentiasa berevolusi mengikut peredaran masa dan budaya. Maka tidak hairanlah pelbagai istilah baru turut muncul akibat pelbagai pengaruh sosial. — EdisiRakyat.com, 18 Januari 2021