KUALA LUMPUR: Pengalaman menjaga arwah ayah yang terlantar di hospital dan menyaksikan pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berdepan masalah mendapatkan bekalan darah, menginsafkan aktor ini.
Sejak detik itu, Azhan Rani, 44, bertekad mengumpul kudrat untuk menderma darah atas dasar tanggungjawab sosial dan kemanusiaan.
“Saya ada banyak pengalaman tinggal di hospital. Saya pernah menjaga arwah ayah yang dirawat di hospital berbulan-bulan.
“Saya lihat banyak keadaan pesakit yang dirawat. Ada yang kritikal di ICU hingga tiada bekalan darah.
“Ketika itu, baru saya tahu, bukan semua orang boleh derma darah. Biarpun kita tampak sihat, apabila disaring, darah kita mungkin tidak sesuai.
“Mungkin juga gaya hidup kita tidak sesuai. Sejak itu, lahir rasa tanggungjawab dan mula bertanya, kenapa saya yang sihat ini, tidak boleh menderma darah?” katanya kepada BH Online.
Azhan berkata, dia mula aktif menderma darah sejak 2010.
“Saya mula menderma darah kira-kira 10 tahun lalu. Namun, saya berhenti bagi tempoh antara tiga hingga empat tahun.
“Selepas itu, saya terus aktif hingga sekarang dan menjadi penderma aferesis atau individu yang menyumbang komponen darah iaitu plasma atau platelet atau kedua-duanya sekali. Berikutan itu, saya layak menderma darah dua minggu sekali sejak 2016.
“Jika dikira, sudah 35 kali saya menderma darah. Untuk menjadi penderma aferesis, anda terlebih dahulu perlu menjadi penderma ‘whole blood’ selama tiga bulan sekali dengan kekerapan tiga kali berturut-turut,” katanya.
Sebelum ini, bekalan darah negara dilaporkan dijangka menurun ke paras kritikal jika stok darah di Pusat Darah Negara (PDN) dan Tabung Darah terus menurun sepanjang tempoh penularan COVID-19.
Ketika ini, bekalan darah jenis A, B dan O dikesan semakin menurun sekali gus menuntut tindakan drastik dilakukan untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan.
Azhan berkata, amalan menderma darah memberi banyak manfaat tetapi ramai orang tidak tahu.
“Stigma konon amalan derma darah menjadikan kita gemuk adalah salah. Sebenarnya, ia memberi banyak kelebihan kepada kesihatan kita.
“Apabila kita menderma, secara tidak langsung, ia menggalakkan pembiakan sel darah baharu dan membuang sel darah jahat.
“Kita juga boleh tahu keadaan badan kerana sebelum menderma darah, kita perlu melalui saringan kesihatan.
“Seperti saya, biarpun sudah 35 kali menderma darah, saya masih perlu melalui proses sama di mana kita perlu melakukan ujian darah, temubual dan menjawab soalan lazim,” katanya.
Azhan berkata, banyak maklumat mengenai kesihatan diri seperti tahap hemoglobin dan sebagainya dikongsi petugas yang membuat pemeriksaan.
“Saya diberitahu untuk mengurangkan makanan laut kerana penyakit gout dan kolestrol tinggi dalam badan yang memerlukan saya menjaga pemakanan. Sudahlah percuma, kita dapat pula informasi berguna,” katanya.
Tambah Azhan, sebagai penderma aktif, dia menikmati kemudahan ujian darah secara percuma setahun sekali.
“Jika di hospital swasta, saya dengar caj untuk ujian darah antara RM700 sehingga RM1000,” katanya.
Selain itu, Azhan berkata, dengan status penderma aktif, dia layak ditempatkan di wad kelas satu hospital kerajaan secara percuma.
“Kalau sudah 100 kali menderma darah, anda boleh menikmati kelebihan itu secara percuma seumur hidup.
“Bagaimanapun, ganjaran ini tidak penting. Sebaliknya, niat kita untuk membantu orang lain. Mana tahu, hari ini kita menderma, esok kita pula mencari penderma,” katanya.
Azhan berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang orang ramai untuk menderma darah.
“Jangan kata sebab PKP kita tidak boleh menderma. Orang ramai boleh layari laman web PDN dan rujuk cara-cara melakukan derma darah.
“Surat pelepasan juga boleh dimuat turun, jadi, tiada masalah untuk kita melalui sekatan jalan raya,” katanya.
Bagaimanapun, tambah Azhan, aktiviti menderma darah bukanlah alasan untuk orang ramai mengingkari PKP.
Baru-baru ini, Azhan yang aktif dalam kumpulan pendaki, Summit Attack Resources (SAR) menyertai program menderma darah di PDN di ibu negara.
“PDN mengalami kekurangan bekalan darah yang kritikal terutama jenis O dan B. Selepas mendapat panggilan kerana saya penderma aktif, saya suarakan kepada ketua kumpulan SAR.
“Alhamdulillah, kira-kira 30 ahli kumpulan turut serta. Melihatkan sambutan ini, saya terfikir, mengapa tidak aktiviti ini dihebahkan kepada lebih banyak kumpulan sosial seperti basikal dan motosikal di seluruh negara,” katanya.
Azhan berkata, kesungguhannya menderma darah bertujuan memberi inspirasi kepada orang ramai sesuai dengan statusnya sebagai selebriti yang dikenali ramai.
“Sebagai artis, inilah perkara yang boleh saya bantu. Tidak dapat tolong daripada segi wang ringgit, saya bantu dengan cara ini.
“Ketika sihat inilah kita berpeluang menolong. Esok atau lusa, kita tidak tahu nasib kita,” katanya yang menghebahkan kempen PDN di laman sosialnya.
Berita penuh: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2021/01/780314/35-kali-derma-darah