Kerajaan bersedia memperluas jumlah pencarum yang layak bagi pengeluaran caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan semua pihak, khususnya KWSP.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat mengambil kira keresahan rakyat yang terkesan dengan impak penularan COVID-19.
“Selepas rundingan itu selesai, kita perlu tunggu dalam beberapa hari lagi untuk saya serta KWSP umumkan berhubung usaha memperluas kepada lebih 600,000 rakyat menerima faedah ini.
“Kita juga akan jelaskan juga mengapa kita buat demikian,” katanya pada sidang media di Wisma BERNAMA, di sini hari ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Tengku Zafrul mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000, bagi tempoh 12 bulan untuk meringankan beban ahli yang terjejas.
Pada April lalu, KWSP memperkenal skim kemudahan pengeluaran Akaun 2 i-Lestari yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan, selama tempoh 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000, memberi manfaatkan kepada kira-kira 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.
Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan Dewan Rakyat tidak meluluskan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata, jika perkara itu berlaku, kerajaan tidak dapat membayar gaji penjawat awam dan bantuan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi COVID-19.
Bagaimanapun, katanya, beliau optimis belanjawan membabitkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang memfokuskan kepada usaha membantu rakyat dan pemulihan perniagaan serta ekonomi negara itu akan diluluskan.
“Bagi saya, kalau belanjawan ini dapat menolong negara kita, jadi tiada sebab untuk belanjawan ini tidak diluluskan dan ditolak (Dewan Rakyat).
“Kalau ditolak, dari segi ekonominya kita tidak dapat bayar komitmen kerajaan, termasuk untuk membayar bantuan kepada rakyat,” katanya.
Menteri kewangan itu juga turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa sekolah vernakular dipinggirkan dalam peruntukan Belanjawan 2021.
Katanya, pada sesi pembentangan belanjawan itu, peruntukan untuk sekolah tidak diklasifikasikan mengikut jenis sekolah dan menambah perincian peruntukan bagi setiap jenis sekolah akan dijelaskan oleh Kementerian Pendidikan tidak lama lagi.