BNBBC setaraf dengan kelab muda mudi zaman dulu

Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin menyifatkan Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di Parlimen setaraf dengan kelab muda mudi zaman dahulu apabila melantik orang yang disahkan bersalah oleh mahkamah menjadi pengerusi mereka.

“Tak apalah kerana BN pun bukan kerajaan lagi. Jadi kelab ini lebih kurang macam Kelab Suka Ria Pemuda Pemudi zaman dulu,” tulis bekas penasihat media Perdana Menteri itu menerusi facebooknya.

Tulisan itu dibuat Kadir selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menolak cabaran berdebat oleh Datuk Seri Najib Razak yang kini dilantik BNBBC sebagai pengerusi mereka.

 

Dalam bahasa Melayu, tajuk berita Malay Mail ini berbunyi: “Tidak ada apa yang hendak kita bahaskan oleh kerana kamu sudah didapati bersalah”, tulis Kadir.

Ini adalah jawapan Dr Mahathir Mohamad kepada Najib yang mencadangkan agar mereka berdua berbahas.

Dalam erti kata yang lain, kata Kadir, Dr Mahathir menganggap bahas di antara beliau dengan Najib selesai apabila Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Julai lalu dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana pecah amanah RM42 juta duit SRC International Sdn Bhd.

Bagi beliau, Dr Mahathir dan sesiapa saja yang waras pemikiran tidak perlu ambil kisah sangat dengan seorang yang dilabel “convicted felon” oleh Pertubuhan Berita Nasional, Bernama.

Dalam bahasa Melayu ia bermaksud penjenayah yang dihukum, katanya.

“Ini, bagaimanapun, tidak termasuk Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di Parlimen yang dilaporkan melantik beliau sebagai Pengerusi,” kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP ketika kerajaan BN dahulu.

Katanya, Najib ada peluang berbahas dengan Dr Mahathir masa dia Perdana Menteri iaitu dalam majlis “Nothing2Hide” di PWTC pada tahun 2015.

“Tapi dia tak berani,” katanya lagi.

Tetapi, kata Kadir ada satu “bahas” yang Najib wajib ambil berat dan persiapkan diri kalau dia tidak mahu masuk jel iaitu rayuannya kepada Mahkamah Rayuan.

“Kalau Najib galak sangat nak bahas dengan Dr Mahathir, dia masih boleh berbuat demikian di Dewan Rakyat yang sedang bersidang sekarang,” katanya.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/bnbbc-sudah-setaraf-dengan-kelab-muda-mudi-zaman-dulu-kata-kadir-jasin/