BPN 2.0 fasa kedua yang berjumlah RM2.2 bilion akan disalurkan

Kerajaan akan meneruskan bantuan tunai secara bersasar menerusi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), sebuah inisiatif yang menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 fasa kedua yang berjumlah RM2.2 bilion bakal disalurkan.
“Isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.
“Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200.
“Kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000. Kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih.
“Individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula, akan menerima bantuan RM350. Tidak sekadar itu, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum ini, iaitu 40 tahun,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2021.
Secara keseluruhan, Tengku Zafrul berkata pemberian BPR dijangka akan memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding dengan 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion sebelum ini di bawah BSH.
Katanya lagi, Kerajaan turut memperuntukkan RM1.5 bilion bagi melaksanakan Program Jaringan PRIHATIN bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan B40 mendapatkan kemudahan internet.
“Bermula suku pertama 2021, lebih kurang 8 juta penerima dari golongan B40 akan menerima bantuan RM180 ringgit seorang dalam bentuk kredit telekomunikasi.
“Bantuan ini boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.
“Pada masa yang sama, syarikat-syarikat telekomunikasi akan menyediakan manfaat bernilai RM1.5 bilion seperti dalam bentuk data percuma,” katanya lagi.

Komputer percuma untuk pelajar sekolah

 GLC akan menyumbang RM150 juta kepada Tabung Cerdik yang bertujuan menyediakan komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah di bawah program perintis.

Projek ini dikendalikan oleh Yayasan Hasanah.

Langkah ini dirancang untuk mempromosikan e-pembelajaran, kata Zafrul

 

Pemberian e-tunai RM50 untuk belia

Kerajaan akan memasukkan RM50 ke dalam e-dompet yang dipegang oleh belia berusia antara 18 hingga 20 tahun untuk menggalakkan transaksi nirtunai (cashless).

 

Penjagaan anak percuma untuk B40 di bandar

Kerajaan berhasrat membelanjakan RM20 juta untuk mewujudkan pusat komuniti sebagai tempat jagaan anak-anak selepas tamat sesi persekolahan.

Pusat itu akan melibatkan kerjasama NGO dan dilengkapi kemudahan penjagaan diri, kelas tuisyen, perpustakaan mini dan program bimbingan mentor.

Berita penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/belanjawan-2021-bantuan-tunai-diteruskan-bawah-bantuan-prihatin-rakyat-267104