Semalam tular isu seorang wanita di Melaka menerima alat tulis yang dipesannya dalam talian disarung dengan seluar dalam.
Ia mencuri perhatian orang ramai kerana kebetulan dikongsi selepas tular video cara pengendalian barangan melibatkan syarikat penghantaran popular J&T Express Malaysia J&T Express Malaysia.
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, masih belum jelas bagaimana perkara itu boleh berlaku.
Pembeli Ayunormaslinda Abu Hassan ketika dihubungi Malaysiakini mempertahankan bahawa dakwaannya itu sahih dan bukan direka-reka.
Pengantar dan penjualnya juga menafikan membuat kerja ‘nakal’ itu.
Ayunormaslinda semalam berkongsi gambar pesanannya – empat bekas pensil kanak- kanak – yang dipek dalam kotak tetapi bersarung seluar dalam wanita berwarna merah jambu.
“Hari ini barang yang suami order (pesan) sampai dengan kotak dibalutkan menggunakan seluar dalam ini. Sangat melampau,” tulisnya di Facebook yang mahu J&T menyelesaikan perkara itu.
Wanita 32 tahun itu yang lebih mesra dengan panggilan Ayu juga menjelaskan di Facebook Live bahawa pekerja J&T yang menghantar bungkusan tersebut juga tidak tahu apa yang berlaku.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Ayu bagaimanapun berkata pihak J&T Melaka sudah menghubunginya untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Saya dah buat aduan tersebut di J&T. Mereka ada mohon maaf kepada saya.
“Saya juga harap mereka dapat naikkan memo minta maaf atas perkara ini kerana menyebabkan kekejaman kepada saya dan juga bisnes saya.
“Selama lima tahun saya sebagai seller (penjual) memang menggunakan J&T ini, tapi bila terjadi begini saya anggap tidak wajar berlaku pada saya,” katanya yang juga seorang usahawan.
Ayu juga berkata dia telah merujuk dengan penjual yang menafikan perkara itu dilakukan mereka.
“Ya, saya dah tanyakan seller, mereka telah memberitahu mereka hantar dalam keadaan baik,” katanya.
Bagaimanapun, perkongsian Ayu itu menyebabkan dia ditimpa masalah baru.
Terdapat warga maya tampil mendakwa dia sengaja mereka-reka cerita, menyebabkan dia tampil membuat laporan polis.
Sumber: Malaysiakini