Ditahan edar dadah, lima individu ditahan

KOTA BHARU: Polis Kelantan menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi lima individu termasuk dua beranak menerusi dua serbuan berasingan di Tanah Merah, semalam.

Menerusi serbuan di Kampung Tok Che Dol dan Gual Ipoh, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk 5,800 biji pil yaba, heroin dan syabu dengan nilai keseluruhan RM120,000.

Pada masa sama, polis turut menyita tiga kereta termasuk BMW dan lima motosikal dengan nilai keseluruhan hampir RM204,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar, berkata serbuan pertama dilakukan jam 3.45 petang di sebuah bangsal di tepi jalan di Kampung Tok Che Dol.
Katanya, hasil serbuan berkenaan, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 22 hingga 28 tahun dan merampas 800 biji pil yaba bernilai RM8,000 serta menyita dua motosikal bernilai RM10,000.

“Hasil siasatan mendapati, tiga suspek berkenaan mempunyai satu hingga lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah serta hasil ujian air kencing juga positif methamphetamine,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sheik Azhar berkata, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Gual Ipoh hasil maklumat yang diperoleh sebelum menahan dua beranak berusia 18 dan 60 tahun jam 4.30 petang.

Katanya, kedua-dua suspek iaitu bapa dan anak masing-masing ditahan ketika berada di dalam rumah dan luar rumah.

“Hasil pemeriksaan di hadapan rumah iaitu kawasan semak menemui 5,000 biji pil taba, 26 botol heroin seberat 104 gram dan 100 gram syabu bernilai RM112,000.

“Kita juga merampas dua kereta milik dua beranak berkenaan iaitu sebuah BMW, Perodua Myvi dan Proton Satria serta tiga motosikal dengan nilai keseluruhan RM193,829,” katanya.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati kelima-lima suspek mempunyai kaitan antara satu sama lain dan dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di Tanah Merah sejak awal tahun lalu.

“Kita juga percaya kereta mewah yang dirampas adalah hasil jualan dadah,” katanya.

Sumber: BH