Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes ragut di sekitar Sentul, di sini dengan penahanan dua lelaki tempatan dalam dua tangkapan berasingan di daerah itu, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata kedua-dua suspek ditahan selepas salah seorang daripadanya ditangkap oleh orang awam ketika cuba meragut seorang wanita di hadapan sebuah bank di Jinjang Utara, petang semalam.
“Dalam kejadian, jam 2 petang itu, mangsa berusia 21 tahun hendak membayar makanan sebelum datang seorang lelaki menaiki motosikal menarik beg tangannya, bagaimanapun mangsa tidak melepaskan beg tangannya sebelum terjatuh di atas jalan.
“Suspek tidak sempat mengambil beg tangan mangsa dan terus memecut motosikal untuk melarikan diri, namun dia terlanggar sebuah kereta dan terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, orang awam yang melihat kejadian itu kemudian membantu menangkap suspek sebelum menghubungi pihak polis.
“Soal siasat ke atas suspek berusia 25 tahun itu mendapati dia mengaku cuba meragut mangsa dan semakan mendapati motosikal yang digunakan ketika melakukan jenayah itu bukan motosikal curi.
“Siasatan lanjut ke atasnya membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 27 tahun di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin, Jalan Jinjang Utara kira-kira jam 11 malam tadi,” kata beliau.
Menurutnya, menerusi tangkapan itu, polis turut merampas satu beg galas berisi wang tunai RM3,000 serta enam buah telefon bimbit.
Semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes ragut manakala seorang lagi suspek tiada rekod jenayah lampau.
“Kita berterima kasih kepada orang awam yang membantu dan dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, kita berjaya menyelesaikan 10 kes ragut di daerah Sentul sepanjang tahun ini.
“Kedua-dua suspek direman empat hari sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/11/757078/dua-peragut-ditahan-10-kes-ragut-selesai