[Dunia] Rondaan malam penduduk Myanmar

Penduduk Myanmar sanggup berjaga malam untuk melakukan rondaan di kawasan kejiranan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap serangan dan gangguan oleh tahanan yang dibebaskan oleh junta.

Sejak tentera bertindak menahan pemimpin rakyat, Aung San Suu Kyi dan menggulingkan pentadbirannya pada 1 Februari lalu, regim baharu menahan ratusan orang untuk menghentikan kempen ketidakpatuhan awam yang terus meningkat ekoran rampasan kuasa.

Sebagai maklum balas, masyarakat di seluruh Myanmar membentuk pasukan pengawasan kejiranan untuk mencegah penahanan pada waktu malam.

Salah seorang penduduk, Myo Ko Ko, mengakui berasa gentar dengan pasukan bersenjata, namun akan tetap membantu.

“Kami akan terus melakukan rondaan pada setiap malam… kami tidak boleh membiarkan sesiapa ditahan,” katanya yang membantu mengawal jalan di Yangon kepada AFP.

Banyak juga khabar angin mengenai desas desus yang semakin berlegar di media sosial, mendakwa tahanan yang dibebaskan ‘dihantar’ ke komuniti untuk melakukan kekacauan.

Junta Myanmar minggu lalu membebaskan lebih 23,000 tahanan.

Walaupun pengampunan besar-besaran bagi mengurangkan kesesakan penjara boleh berlaku, namun ada kumpulan hak asasi mengesyaki pembebasan itu adalah untuk memberi ruang kepada kumpulan penentang tentera.

Kehadiran kenderaan berperisai di sekitar bandar utama di Myanmar adalah bagi menimbulkan ketakutan, selain kemudahan talian internet diputuskan pada awal pagi tadi.

Desas-desus berhubung ‘gangguan’ di pusat bandar itu tersebar di media sosial, bersama dengan kemarahan orang ramai kerana diyakini ia adalah kempen yang sengaja dilakukan untuk menimbulkan ketakutan. – AFP

Sumber: BH