Enggan mohon maaf, adakah Asyraf berani sahut cabaran debat Maszlee?

Hari ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam laman sosial facebook menyatakan keengganan memohon maaf selepas bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meminta agar beliau memohon maaf secara terbuka. Namun Asyraf mendakwa beliau tidak pernah memetik nama sesiapa termasuk Maszlee ketika membuat kenyataan mendesak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya menarik balik buku teks Sejarah Tingkatan Empat.

Namun Maszlee yang juga merupakan seorang ahli akademik ingin memastikan tiada tohmahan dan fitnah kepada institusi pendidikan khususnya. Justeru itu beliau memberikan cabaran kepada Asyraf untuk berdialog bagi merungkai permasalahan yang ditimbulkan berkaitan tatacara dan prosedur penerbitan buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman berkata, sebagai sebuah akhbar yang bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik, Sinar Harian bersedia untuk menemukan bekas Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajidi Dusuki.

Persoalannya, adakah Asyraf berani menyahut cabaran debat Maszlee?