TH Plantations Bhd memulakan usaha untuk menjual aset kumpulannya dalam tempoh 12 bulan akan datang berikutan persekitaran operasi yang mencabar akibat COVID-19.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, TH Plantations berkata, pelaburan dalam Bumi Suria Ventures, Maju Warisanmas, TH PELITA Meludam, TH PELITA Beladin, TH PELITA Simunjan, TH PELITA Gedong dan TH PELITA telah dikenal pasti sebagai aset pegangannya untuk dijual dan menjangkakan langkah pelupusan aset itu selesai dalam tempoh setahun.
“Pandemik dan penutupan pintu sempadan Malaysia sejak suku pertama menjadikan keadaan operasi mencabar.
“Sekatan ke atas pengambilan pekerja asing baharu terus menjejaskan pengeluaran perladangan pada suku semasa,” menurut TH Plantations dalam kenyataan hari ini.
Penjualan 70 peratus kepentingan ekuiti dalam THP-YT Plantation Sdn Bhd telah selesai pada suku ketiga 2020, dengan kerugian bersih sebanyak RM7.94 juta.
Syarikat perladangan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM15.77 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2020, daripada kerugian bersih sebanyak RM31.61 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Perolehan meningkat kepada RM167.43 juta daripada RM136.01 juta sebelum ini.
Katanya, pendapatan yang lebih baik pada suku tahun itu sebahagian besarnya berikutan purata harga jualan untuk produk sawit yang lebih tinggi dan perubahan nilai saksama aset biologi berjumlah RM20.83 juta.
Katanya purata harga jualan untuk minyak sawit mentah (MSM), tandan buah segar (FFB) dan isirung sawit (PK), masing-masing naik sebanyak 32.59 peratus kepada RM2,540.09 satu tan, 46.35 peratus kepada RM505.62 satu tan dan 28.45 peratus kepada RM1,419.61 satu tan.
Bagaimanapun, pengeluaran FFB merosot 4.14 peratus berbanding suku tahun sama tahun lalu.
Sementara itu, kumpulan terus mencatatkan prestasi yang baik di peringkat operasi.
“Walaupun terdapat peningkatan di peringkat operasi, kemajuan Pelan Pemulihan Strategik kumpulan, yang termasuk rasionalisasi aset, terus menjadi kunci kepada kemampanan jangka panjang TH Plantations,” katanya.
Syarikat yakin paras semasa harga jualan untuk produk sawit akan kekal sepanjang baki tahun ini dalam persekitaran musim pengeluaran yang rendah, kekurangan tenaga kerja dan paras inventori minyak sawit yang rendah di negara ini.
Sumber: