Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A Samad, kecewa kerana terpaksa melapangkan perbicaraan kes yang sepatutnya bersambung minggu ini, berikutan Ahli Parlimen Kinabatangan itu perlu menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Hakim Rozina Ayob turut menegur tindakan peguam Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, lewat menghantar surat kepada mahkamah iaitu pada 17 Disember lalu, bagi memohon perbicaraan yang ditetapkan hari ini sehingga 24 Disember dilapangkan.
“Saya amat kecewa. Saya pasti kamu sudah mengetahui jadual persidangan DUN Sabah lebih awal, saya rasa 14 hari sebelum persidangan? Pendakwaan sudah menyemak prosedur DUN Sabah, apa kehendaknya? Jadi saya pasti sudah tahu lebih awal, kenapa saat akhir pada 17 Disember baru (surat) dikemukakan?
“Kalau sememangnya tidak boleh nak jalankan kes ini, sekurang-kurangnya saya boleh panggil kes lain untuk didengar, jadi sekarang kamu telah membuang masa saya sepanjang minggu,” katanya.
Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pihak pembelaan menyambung soal balas saksi pendakwaan kesembilan, pegawai khas bekas pengerusi Felcra, Nazrul Aswad.
Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Zizie Ezette berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh terhadap teguran itu dan memohon maaf kepada Rozina bagi pihak peguam bela Bung Moktar, M Athimulan, yang tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.
Zizie Ezette dan seorang lagi peguam Bung Moktar, Ridha Abdah Subri, hadir ke mahkamah.
Kumaraendran berkata, pihak pembelaan dimaklumkan Bung Moktar yang juga Ahli DUN (ADUN) Lamag mendapat makluman saat akhir bahawa beliau perlu menjawab beberapa soalan di DUN.
Rozina menegaskan, perkara itu tidak harus berulang lagi.
“Sekurang-kurangnya beri kami pemberitahuan sementara yang kamu mungkin tidak dapat hadir kerana apa pun alasan atau mesyuarat ini (DUN), jadi saya tidak mahu perkara seperti ini berlaku lagi pada saat akhir.
“Kalau tidak, saya dah boleh isi dengan kes lain yang memang ada yang belum selesai, bukan hanya kes kamu yang harus saya dengar, ada perkara kepentingan awam lain yang harus saya dengar. Sebagai pegawai mahkamah, saya pasti kamu mengetahui amalan mahkamah.
“Saya terpaksa memberi penangguhan kerana kita tidak boleh meneruskan (kes) tanpa kehadirannya kerana ini kes jenayah dan saksi berikutnya adalah saksi penting.
“Walaupun peruntukan undang-undang ada yang membenarkan kita untuk meneruskan kes (tanpa kehadiran tertuduh) tetapi untuk keadilan dalam hal ini, saya pertimbangkan semua tarikh yang dipohon (untuk dilapangkan) dibenarkan yang mana mahkamah terpaksa menjadual semula (perbicaraan) ke tarikh lain,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria, turut memaklumkan kepada mahkamah pendakwaan akan mengemukakan 17 saksi pendakwaan lagi selepas saksi pendakwaan kesembilan selesai memberi keterangan.
Rozina menangguhkan perbicaraan kes sehingga 11 Januari depan dan meminta pihak pembelaan mengemukakan tarikh persidangan DUN Sabah yang lengkap bagi memudahkan mahkamah menjadual semula tarikh lain perbicaraan kes itu.
“Pada 11 Januari, (pihak pembelaan) sila sahkan mengenai tarikh yang ditetapkan sebab saya tak nak dapat surat seperti ini yang menyatakan terpaksa bersidang, ia tidak elok kerana kedua-duanya (kes mahkamah dan DUN) adalah kepentingan awam dan kedua-duanya penting di sisi rakyat,” katanya.
Pada 3 Mei tahun lalu, Bung Moktar, 60, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie Ezette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Dia juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama.
Kesalahan didakwa dilakukan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Ezette juga mengaku tidak bersalah atas tiga kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa sama.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/12/767476/hakim-kecewa-kes-bung-moktar-isteri-tangguh-lagi