Hangat !! Batalkan saja Piala Malaysia!

Batalkan saja Piala Malaysia! Itu pandangan bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim selepas kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan sehingga 6 Disember ini.

Jelas Zakaria, meskipun saingan Piala Malaysia kini sudah memasuki fasa suku akhir namun larangan merentas negeri bakal mendatangkan masalah buat semua pasukan.

Malah, berdasarkan arahan PKPB itu juga, aktiviti sosial seperti sukan juga adalah dilarang untuk dijalankan termasuk perlawanan bola sepak.

Menurutnya lagi, sekiranya penganjur liga tempatan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil jalan untuk menangguhkan perlawanan ke bulan Disember, ia bakal memberi kesan kepada kewangan pasukan yang perlu membayar gaji pemain sedangkan kontrak akan berakhir hujung bulan ini.

“Macam-macam masalah yang akan timbul jika Piala Malaysia diteruskan. Sudahlah dilarang untuk merentas negeri, kewangan pasukan juga akan meningkat sekiranya ia (Piala Malaysia) ditangguh.

“Saya lebih memilih agar ia dibatalkan untuk musim ini bagi mengelak masalah lebih buruk berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berpendapat, pertandingan Piala Malaysia boleh diteruskan tetapi ia perlu dilangsungkan di negeri berstatus hijau seperti Pahang dan Kelantan.

Katanya, MFL perlu segera melakukan rundingan dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya baki saingan Piala Malaysia diberi kebenaran bermain di negeri hijau.

“Kalau batal, MFL akan hilang keuntungan daripada perjanjian bersama hak penyiaran dan penaja.

“Boleh buat tapi di negeri macam Pahang dan Kelantan. Lagipun hanya tinggal lapan pasukan saja, dan semua pasukan perlu jalani pemeriksaan kesihatan yang ketat sebelum main,” kata Sadek.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan pihaknya akan bermesyuarat bagi membincangkan nasib Piala Malaysia dan mengumumkan keputusan itu.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/11/639587/batalkan-saja-piala-malaysia