KUALA LUMPUR: Kelompangan prosedur operasi termasuk terlalu banyak kuasa undang-undang membabitkan sebuah agensi kerajaan di pintu masuk negara, dipercayai antara punca kegiatan penyeludupan khususnya daging import yang diragui status halal masih berlaku.
Sumber berkata, kuasa diberikan undang-undang itu menyebabkan ia dipergunakan pegawai kanan agensi terbabit dalam keputusan berkaitan kemasukan kontena, sekali gus berpotensi menyumbang kepada amalan rasuah di sempadan negara.
Malah, sumber itu berkata, kelompangan berkenaan dimanipulasi oleh syarikat kartel pengimport daging sejuk beku menyeludup bekalan yang diragui status halal ke negara ini.
“Kuasa pegawai kanan agensi yang dipercayai ada ‘imuniti’ dan ‘kekuatan’ untuk melanggar prosedur sedia ada atas beberapa justifikasi sebagaimana yang dinyatakan dalam surat kelonggaran syarat itu.
“Kerjasama antara syarikat kartel dan pegawai kanan agensi terbabit dipercayai membolehkan kontena dilepaskan masuk ke negara ini meskipun bekalan tidak menepati piawaian,” kata sumber itu kepada BH.
Sumber berkata, menggunakan ‘kelebihan’ kuasa undang-undang itu, pegawai kanan terbabit mengeluarkan notis kelonggaran keperluan permit import untuk produk pertanian secara transshipment di semua pelabuhan, kecuali Sabah dan Sarawak.
Sehingga ini, isu kelompangan ini sudah menarik perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, mengesahkan pihaknya sedang meneliti perkara itu sebelum membuat syor kepada kerajaan.
Shamsun Baharin berkata, penelitian itu termasuk penyiasatan terhadap aspek undang-undang dan enakmen yang diguna pakai, proses kerja serta garis panduan sebelum mengambil tindakan susulan.
Katanya, jika kelompangan yang ada berisiko menyebabkan salah guna kuasa, pihaknya akan memberi syor kepada agensi atau kementerian terbabit untuk mengehadkan kuasa pegawai termasuk melalui pindaan undang-undang.
“Jika kelompangan yang ada itu menyebabkan kuasa pegawai terbabit terlalu luas dan membuka ruang untuk berlaku penyelewengan kita akan memberi cadangan untuk tutup kelompangan itu,” katanya.
Sementara itu, sumber berkenaan menambah satu daripada lima kelonggaran syarat kemasukan yang diberikan ialah transshipment membabitkan full container load (FCL) sahaja iaitu satu kontena penuh yang dimiliki oleh seorang pengirim di mana semua barang dalam kontena berkenaan tidak bercampur dengan barang orang lain.
Sumber berkata, kelonggaran itu boleh menjadi punca kepada kemasukan barang, termasuk produk sejuk beku yang diragui ke negara ini.
“Jadi sejak surat itu dikeluarkan, bolehlah barang yang dinyatakan dibuat transshipment asalkan menepati justifikasi (FCL) yang dinyatakan,” katanya.
Kelonggaran itu pula dipercayai ada yang dilakukan atas permintaan pemain industri, sekali gus membuka peluang kepada perlakuan rasuah.
Sumber berkata, tidak dinyatakan juga sama ada kontena transshipment yang masuk contohnya ke pelabuhan A mesti dieksport melalui pelabuhan sama.
“Ia sekali gus berupaya memberi ruang di mana kontena yang turun di pelabuhan A akan dipindahkan ke pelabuhan lain dengan menggunakan borang Kastam No 8 (K8) tanpa dinyatakan keperluan untuk diperiksa serta mendapat kelulusan pegawai agensi berkenaan,” katanya.
Sumber itu juga memberi contoh di mana dalam serbuan sebuah agensi penguatkuasaan di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menunjukkan adanya ruang membawa keluar bekalan sebelum ia dibawa ke gudang dan di pek semula untuk pasaran tempatan.
Difahamkan, fungsi zon perdagangan bebas sepatutnya hanya menjadi transit kepada barang dari negara luar untuk dibawa ke negara ketiga, tidak boleh dibawa keluar ke mana-mana destinasi dalam negara.
BH sebelum ini mendedahkan kegiatan kartel membawa daging sejuk beku dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pintu masuk negara.
SPRM setakat ini sudah menahan lapan individu sejak 4 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung isu kartel daging sejuk beku.
Dilaporkan 27 saksi sudah dipanggil dalam siasatan kes berkenaan terdiri daripada pekerja syarikat, ejen pengimport serta pegawai kerajaan.
Ejen penghantaran syarikat pengimport menggunakan kemudahan rangkaian media sosial untuk berurusan dengan pegawai agensi kerajaan di pintu masuk sempadan.
Berdasarkan hasil tangkap layar perbuatan aplikasi WhatsApp, sumber berkata, ia dipercayai membabitkan ejen penghantaran produk sejuk beku dengan pegawai agensi tertentu yang mengandungi dialog yang ‘mencurigakan’.
Sumber itu berkata, ada juga dialog yang seolah-olah ejen terbabit meminta ‘diskaun’ daripada pihak satu lagi yang dipercayai untuk melepaskan kontena.
“Antara mesej yang kepada pegawai agensi itu yang mencurigakan ialah ‘bagi aku dokumen penuh’, ‘sijil kesihatan dia ada tak? dan ‘kalau nak ‘settle’ malam ini, harga tak boleh kurang?” katanya.
Malah, sumber berkata, perbualan itu juga dipercayai untuk ‘mengatur’ penghantaran produk berkaitan ternakan.
Berdasarkan perbualan di WhatsApp berkenaan, pegawai agensi terbabit juga dipercayai meminta supaya ejen menghantar ‘dokumen’ tertentu lebih awal.
“Ia dipercayai dilakukan bagi memudahkan pelepasan (kontena) dibuat lebih awal bagi mengabui mata pegawai agensi lain yang terbabit dalam rantaian pelepasan kontena di pelabuhan,” kata sumber berkenaan.
Malah, pegawai agensi terbabit juga turut menjadi ‘orang tengah’ menguruskan dokumen yang perlu dihantar ke Kementerian Kesihatan untuk pelepasan.
Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/781809/kelompangan-prosedur-operasi-dimanipulasi