Hangat!! Miliki kereta klon 3 individu ditahan

Tiga individu yang didapati memiliki kenderaan klon ditahan dalam Ops Kenderaan Klon di sekitar Banting dan Kajang, Selangor serta Rembau, Negeri Sembilan pada Rabu lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, operasi dijalankan oleh sepasukan polis dari Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman susulan maklumat dan risikan yang dijalankan.

“Bertindak atas maklumat, anggota bertugas telah menghampiri seorang lelaki di hadapan sebuah rumah di Telok Panglima Garang, Selangor kira-kira pukul 3 petang dan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Honda Civic milik lelaki tersebut.

“Pemeriksaan mendapati nombor enjin serta casis kereta tersebut adalah tidak sama dengan yang didaftarkan dan lelaki itu kemudiannya ditahan kerana gagal memberi keterangan terhadap kenderaan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Nadzri, bertindak atas maklumat yang diperolehi, pihak polis kemudiannya pergi ke sebuah bengkel membaiki kereta di Taman Bukit Mewah Kajang, Selangor kira-kira pukul 6 petang hari yang sama dan menghampiri seorang lagi lelaki warga Indonesia yang sedang memegang dua alat kawalan jauh kereta jenis Audi A4 dan Mini Cooper S.

“Pemeriksaan ke atas nombor casis mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan tiada rekod pendaftaran dan siasatan mendapati lelaki berkenaan merupakan pekerja di bengkel tersebut.

“Suspek mendakwa, kereta jenis Mini Cooper S tersebut adalah milik seorang wanita yang dikenali dengan nama panggilan ‘Diana’ yang meminta suspek untuk membaiki serta mencari pembeli yang ingin membeli kereta itu,” katanya.

Jelas beliau, pihak polis dengan dipandu arah oleh suspek kemudiannya bergerak menghala ke Rembau, Negeri Sembilan kira-kira pukul 7.10 malam untuk bertemu dengan ‘Diana’ yang bersetuju berjumpa di Petronas Rembau setelah dihubungi oleh suspek.

“Hasil soal siasat secara lisan, wanita berusia 36 tahun itu kemudiannya mengaku bahawa kereta Mini Cooper S tersebut adalah miliknya.

“Kesemua individu berusia 29 hingga 45 tahun itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan terhadap kenderaan-kenderaan tersebut,” tegas beliau

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2020/11/22/3-individu-ditahan-miliki-kereta-klon/