KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menegaskan prestasi Lee Zii Jia tidak akan meningkat sekalipun menukar jurulatih terbaik di dunia sekiranya dirinya sendiri tidak mahu berubah.
Menurutnya, semuanya kini terpulang kepada kehendak pemain berusia 22 tahun itu sendiri untuk mempertingkatkan kemampuan dirinya dan bukan bergantung sepenuhnya kepada jurulatih.
“Pada pandangan saya, jika sediakan jurulatih terbaik di dunia sekalipun kepada Zii Jia tetapi kalau dia sendiri tak mahu, tidak ada gunanya juga. Yang penting adalah diri sendiri (untuk meningkatkan prestasi).
“Seperti saya dulu, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) menyediakan mana-mana jurulatih untuk saya dan saya terima saja. Saya tidak pernah kata tidak atau apa-apa. Mana-mana jurulatih yang disediakan BAM, saya ikut.
“Bagi saya, yang lebih penting adalah diri sendiri. Bukan jurulatih atau apa-apa. Kalau jurulatih bagi 10 set latihan dan kamu buat hanya lima set, jurulatih pun tak boleh buat apa-apa. Jadi bagi saya, apa yang lebih penting adalah diri sendiri,” kata Chong Wei.
Chong Wei mengulas demikian ketika ditanya sama ada penggantinya itu perlu kembali dilatih di bawah kendalian Datuk Misbun Sidek selepas prestasi jaguh perseorangan negara itu hambar pada tiga kejohanan di Thailand, bulan lalu.
Kempen Zii Jia di Bangkok dianggap mengecewakan apabila dia yang mara sehingga suku akhir Yonex Terbuka Thailand tersingkir di pusingan pertama pada Toyota Terbuka Thailand dan gagal melepasi peringkat kumpulan dalam Jelajah Dunia Akhir BWF.
Mengulas lanjut mengenai prestasi Zii Jia di Thailand, Chong Wei begitupun berkata, pemain itu seharusnya diberikan peluang untuk memperbaiki prestasi dan jurulatih Hendrawan perlu membuat penilaian bagi mencari masalah dihadapi.
“Berikan dia sedikit masa dan saya rasa di tiga kejohanan itu, Zii Jia tidak mempamerkan aksi terbaik. Saya rasa jurulatih, Hendrawan akan buat penilaian mengenai apakah masalah dihadapi di kejohanan itu.
“Apa situasi dihadapi di Thailand… itu saya tidak tahu. Situasi COVID-19, SOP (Prosedur Operasi Standard) yang sangat ketat, itu saya tak tahu. Apapun, bagi saya, semua menghadapi masalah sama dan apa yang saya nampak (prestasi Zii Jia) bukan yang terbaik.
“Jadi jurulatih Hendrawan kena melihat semula apa masalah dihadapi. Itu yang lebih penting dan lihat apakah masalahnya,” kata Chong Wei.
Sumber: BH