Pernikahan ekspres tanpa dipersetujui ibu bapa bagi gadis Orang Asli dengan lelaki warga asing di sekitar Lojing, dekat sini sudah menjadi perkara biasa sejak lebih 10 tahun lalu.
Malah, dakwaan kebanyakan ibu bapa dalam kalangan Orang Asli, bahawa anak gadis mereka bercinta dan berkahwin dengan golongan itu tanpa pengetahuan mereka, namun akhirnya pasti akan pulang ke pangkuan keluarga.
Katanya, sebilangan gadis berkenaan berkahwin selepas bertemu dengan pekerja asing terbabit ketika bekerja di kebun sayur dan tidak mengambil masa lama berkenalan sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.
Penghulu Orang Asli Kampung Sendrop, Andol Busu Jamin, berkata setakat ini lebih 100 gadis Orang Asli di kampung itu sudah berumah tangga dengan lelaki warga asing dan keadaan itu sukar disekat.
Katanya, ada gadis Orang Asli dibawa balik lelaki asing pulang ke negara mereka seperti ke Lombok, Indonesia selepas bernikah.
“Kahwin dengan lelaki Lombok dan di bawa balik ke sana. Selepas lima bulan membawa semula ke kampung ini dan dibiarkan gantung tak bertali dibiarkan di sini manakala lelaki warga Indonesia itu pulang semula ke negaranya. Pada asalnya wanita Orang Asli ini dijanjikan untuk terus tinggal bersama di negara ini.
“Begitu juga bagi mereka yang memilih untuk berkahwin dengan warganegara Bangladesh dan Pakistan. Perkahwinan itu tanpa pengetahuan ibu bapa dan mereka bernikah secara sembunyi,” katanya ketika ditemui di sini.
Justeru, perkahwinan dengan warganegara asing akan menimbulkan pelbagai masalah lain seperti ditinggalkan atau digantung tidak bertali dan pasangannya menghilangkan diri.
Wanita Orang Asli yang menjadi mangsa gantung tidak bertali, Alawiah Sulong, 35, berkata, beliau yang berkahwin dengan warganegara Indonesia berhadapan dengan masalah.
Katanya, percintaannya dengan lelaki Lombok, Indonesia tidak lama, selepas berjumpa ketika sama-sama bekerja di kebun sayur di kampung berkenaan.
“Saya dijanjikan dengan pelbagai kesenangan apabila berumah tangga. Jadi saya percaya dan tanpa merujuk kepada ibu bapa terus bersetuju untuk berkahwin.
“Tetapi selepas akhirnya perkahwinan ini tak kekal. Mungkin jodoh saya tidak panjang apabila dia tinggalkan saya gantung tidak bertali selepas pulang ke negara asalnya,” katanya
Bagi seorang ibu Orang Asli, Leha Jali, 47, berkata anak perempuannya yang berusia 17 tahun juga pernah berkahwin dengan lelaki pendatang asing, tahun lalu.
Katanya, anak gadisnya hilang semalaman dibawa lari lelaki warga Indonesia tetapi dihantar balik keesokan hari selepas mengetahui dicari penduduk.
Beliau berkata, bermula dari situ, anak gadisnya diawasi setiap hari dan menghalang lelaki warga asing terbabit berkeliaran di kawasan kampung berkenaan.
“Saya juga mempunyai tiga anak gadis dan rasa bimbang jika berlaku suntikan cinta dengan lelaki warga asing hidung belang,” katanya.
Sumber:https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2020/11/749334/jerat-cinta-warga-asing