Jika kita tahu hakikat sakitnya sakaratul maut

Semalam, dalam perjalanan pulang daripada Muar Johor, saya dapat mesej daripada staf bahawa ada seorang wanita daripada Kuantan Pahang berhajat sangat nak jumpa.
Jauh perjalanannya ke Seremban, hajat apakah sehingga begitu sekali. Saya maklumkan lebih kurang 30min lagi akan tiba jika beliau sanggup tunggu. SubhanAllah.
Saya tiba dalam jam 6.30ptg, terus ke galeri dan mendapati beliau tenang duduk di kerusi bersama anak perempuannya. Bila saya di hadapannya, beliau berdiri dan air mata tumpah laju, tidak mampu berkata²..

Si anak berkata, “ustazah, emak saya berhajat sangat nak jumpa ustazah, emak baru sahaja kehilangan anak lelaki, adik saya berumur 26 tahun.., baru sahaja ustazah..”
Si ibu terus menangis, begitu juga saya.. sungguh kematian anak adalah satu ujian berat buat seorang ibu. Saya ajak duduk, dengan berat hati saya bertanya..”Boleh tahu anak meninggal dunia kerana apa?”

Lalu si ibu bersuara dalam suara tertahan,
“Ustazah, arwah pergi mengejut, dalam tempoh 2 bulan, kanser saraf tahap 4, sebaik tahu terus arwah tak boleh bercakap, saraf tu di bahagian rahang, terus mengganggu peti suaranya, setelah itu tiada lagi suara dia, hanya tulisan tangan sebagai perantara, namun itu pun tak lama.. Dia dah tak bermaya”
“Ustazah, dia anak yang sangat baik, sepanjang dia sakit tiada satu kali pun dia mengeluhkan sakitnya, walaupun Dr. kata dia sedang menahan sakit , cuma yang dia tuliskan kepada kami, nak pergi dalam keadaan diampuni Allah swt.. “.

“Ustazah, saya rasa begitu sakit dengan kehilangan anak ini… Sungguh saya masih lemah, tak sesakit kehilangan ibu dan suami, sungguh kehilangan anak begitu sakit, ustazah tolong berikan saya kata² untuk menguatkan hati saya.. Sepanjang saya menjaga arwah lebih kurang 2 bulan di hospital, ceramah ustazah menjadi penguat saya..”
Allahu Akbar.. Dalam hati kecil saya mohon Allah berikan saya kata² yang terbaik..

“Puan, antara kebahagiaan seorang ibu adalah ketika melahirkan anak, kemudian apabila anak itu menjadi anak yang soleh, namun.. Satu lagi kebahagiaan yang paling tinggi seorang ibu adalah apabila anaknya mendapat husnul khatimah, iaitu kematian yang baik..”

Saya menarik nafas, sambil air mata mengalir, kerana membayangkan adakah saya mampu menghadapi kematian anak sendiri.

“Puan, ada seorang ibu di zaman Saidina Umar r.a yang bernama Al-Khansa’, beliau telah menghantarkan keempat-empat puteranya ke medan jihad, dan kesemua anaknya itu syahid dalam perang tersebut,

Berita itu disampaikan dengan rasa bimbang bagaimana si ibu mampu menerima khabar ini, namun sebaliknya Al-Khansa’ berkata:

“Alhamdulillah, segala pujian bagi ALLAH SWT yang telah memuliakan diriku dengan syahidnya putera-puteraku. Semoga ALLAH SWT segera memanggilku dan berkenan mempertemukan dengan putera-puteraku dalam naungan Rahmat-Nya yang abadi di dalam syurga-Nya yang luas.”

Wanita di hadapan saya berkata dengan mata yang bersinar..

“Ustazah, saya menyaksikan pemergian anak saya dengan begitu tenang, pada waktu subuh, dan wajah arwah senyum dan berpeluh dengan banyak, itu kali pertama saya melihat jenazah yang berpeluh begitu..subhanAllah, saya bahagia melihat anak saya ustazah.. Sebagai ibu saya bersyukur ustazah..”.

Allahu Akbar.. Saya pula yang tidak boleh menahan air mata, lalu berkata..

“Puan, antara tanda husnul khatimah, Allah berikan tanda sebelum kematian, seperti sakit dll. Anak puan Allah uji sakit yang berat di hujung waktunya, dia pergi dalam keadaan tidak melakukan maksiat, dosa²nya digugurkan Allah swt asbab sakit, itu sabda nabi yang sahih, kemudian arwah dalam keadaan redha dan sabar, subhanAllah.. Indahnya cara arwah pulang kepada Allah…

“.
Kemudian si ibu ini memegang tangan saya dan memberikan segulung duit dan mengatakan itu adalah duit arwah untuk infaq kerja dakwah dan kebajikan yang ustazah usahakan, lagi bertambah sayu hati ini..mulianya arwah, not duit itu berjumlah satu ribu. Allahu Akbar, akan dialirkan infaq ini kepada jalan Allah..

SubhanAllah, semoga tulisan ini memberikan sedikit kekuatan kepada ibu ayah diluar sana yang diuji dengan kematian anak.

Kita juga bakal mati, jika kita tahu hakikat sakitnya sakaratul maut, nescaya kita tidak punya waktu menangisi kematian orang yang tersayang.. Allahu Akbar.
Bersiaplah untuk saat kematian sendiri.
Asma’ binti Harun
19.12.2020

Sumber: