Risiko penggunaan internet sejak dahulu yang dikaitkan dengan kanak-kanak di bawah umur terdedah kepada bahan-bahan pornografi dan material seksual kini menjadi lebih mencabar selepas pembelajaran di sekolah beralih ke kelas dalam talian, yang mana kanak-kanak diberi kebebasan menggunakan gajet dan peranti dengan lebih lama.
Semakan MalaysiaNow berikutan luahan ibu bapa yang bimbang mengenai keadaan itu mendedahkan kanak-kanak kini lebih mudah mengakses bahan ponografi tanpa syak wasangka daripada penjaga mereka disebabkan sifat semula jadi peranti mudah alih tidak seperti komputer konvensional, dan ia bukan satu-satunya masalah yang timbul.
Terdapat juga kumpulan dalam aplikasi media sosial yang membenarkan akses bahan-bahan ponografi sama ada secara terbuka atau tertutup, terhad dalam kalangan ahli sahaja.
Satu semakan di Telegram, sebagai contoh menunjukkan bahan-bahan seksual yang dikenakan bayaran diedarkan kepada ahli-ahli kumpulan merupakan gambar kanak-kanak bawah umur.
Salah satu kumpulan aplikasi itu dilihat meraikan apabila melihat imej-imej gadis tempatan menggayakan posisi seks yang dikongsi.
Kumpulan yang dikenali sebagai “Gprojek Melayu Tudung” mempunyai kira-kira 22,000 ahli dan sekali-sekali akan berkongsi imej-imej baru kanak-kanak termasuk permintaan video melibatkan murid sekolah melakukan aksi seks.
Namun, perkara yang membimbangkan adalah sesiapa sahaja kini memiliki peranti pintar dan mempunyai akses kepada aplikasi Telegram – platform sama digunakan murid-murid seluruh negara bagi pembelajaran secara dalam talian – bagi membolehkan akses kepada bahan pengajaran.
Sebuah lagi kumpulan yang dipanggil “Barang Larangan” menjadikannya sebagai satu tugasan tetap menyebar gambar dan video-video lucah termasuk gadis bawah umur.
Kebanyakan pengguna akan membuat permintaan kepada rakan-rakan sekumpulan jika mereka memiliki gambar individu tertentu yang mereka temui di media sosial.
Dalam satu hantaran mengejutkan, salah seorang ahli berkongsi maklumat bagi menyertai satu kumpulan tertutup yang mengenakan bayaran.
“Siapa-siapa yang berminat dengan koleksi kanak-kanak, Pedo. Barang baru 2019-2020. Dikemas kini. PM,” tulisnya.
Sumber:https://www.malaysianow.com/berita/2021/02/11/kanak-kanak-lebih-terdedah-dengan-pornografi-lepas-kelas-dalam-talian/