Kekhilafan kenyataan menteri kewangan

Pada 14.11.2020, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata bahawa gaji penjawat awam dan petugas barisan
hadapan tidak akan dapat dibayar jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Beliau dipetik sebagai berkata:
“Kalau ditolak, dari segi ekonominya kita tidak dapat bayar komitmen kerajaan termasuk untuk membayar bantuan kepada rakyat”.
(rujuk https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1901353)

Perkara 102 (b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen boleh “membenarkan perbelanjaan bagi seluruh atau sebahagian tahun itu selain mengikut Perkara 99 hingga 101, jika ternyata kepada Parlimen wajar berbuat demikian oleh sebab pentingnya atau umumnya apa-apa perkhidmatan atau oleh sebab hal keadaan yang luar biasa keterdesakannya”.

Secara ringkasnya, di dalam keadaan di mana wujudnya keterdesakan yang  luar biasa atau pentingnya atau umumnya apa-apa perkhidmatan, Parlimen boleh untuk membenarkan sesuatu perbelanjaan itu untuk diluluskan bagi keseluruhan atau sebahagian tahun.

Hatta jika Belanjawan 2021 ditolak, ianya tidak menjejaskan pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan. Kerajaan yang baharu yang menggantikan Perikatan Nasional masih boleh membenarkan sesuatu perbelanjaan untuk tempoh setahun atau sebahagian tahun itu sebagaimana Perkara 102 (b) Perlembagaan Persekutuan untuk membayar gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan.

Kenyataan Menteri Kewangan tersebut jelas bermaksud bahawa Belanjawan 2021 adalah satu-satunya penentu kepada pembayaran gaji penjawat awam dimana jika ianya ditolak, maka ianya adalah penamatnya. Sedangkan Belanjawan 2021 bukanlah penamat kepada pembayaran gaji penjawat awam.

Jika Belanjawan 2021 ditolak, pihak yang paling terjejas kedudukannya adalah kerajaan Perikatan Nasional dan bukannya penjawat awam atau petugas barisan hadapan. Kedudukan penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak sedikitpun terjejas dengan pertukaran kerajaan yang baharu.

Pada hakikatnya, Belanjawan 2021 bukanlah penamat kepada pembayaran gaji penjawat awam, namun adalah penamat kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Tindakan Menteri Kewangan tersebut juga jelas merupakan satu ugutan untuk menakut-nakutkan Ahli-Ahli Parlimen tertutamanya yang tidak menyokong kerajaan untuk meyokong Belanjawan 2021 tersebut, yang merupakan Belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

 

Kenyataan itu juga adalah semata-mata bermotifkan politik untuk mempengaruhi Ahli-Ahli Parlimen pembangkang dan blok bebas untuk menyokong Belanjawan 2021 walaupun ianya mempunyai kelemahankelemahan yang besar, di mana jika ianya diluluskan nanti, akan dijadikan hujah oleh kerajaan Perikatan Nasional bahawa mereka masih mempunyai majoriti. Sedangkan pada hakikatnya mereka telah hilang majoriti.

Kebebasan mengundi oleh Ahli-Ahli Parlimen tidak wajar untuk diketepikan tanpa melihat kepada peruntukan Perlembagaan itu sendiri. Menteri Kewangan tidak sepatutnya menafikan ‘suara majoriti’ Ahli-Ahli Parlimen kerana ianya adalah bertentangan dengan Kedaulatan Undang-Undang dan  amalan demokrasi berparlimen.

Selain itu, Kenyataan Menteri Kewangan tanpa mengambilkira peruntukan Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan telah juga mengingkari sumpah perjawatannnya untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diperuntukan oleh Jadual Keenam:

 

“Saya, ……………………………………………………, setelah dipilih (atau dilantik) memegang jawatan ……………………………………………………… dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.

Justeru, kenyataan Menteri Kewangan tersebut secara keseluruhannya adalah satu kekhilafan yang nyata (constitutionally incorrect) serta tidak mempunyai sebarang asas undang-undang yang semata-mata dibuat untuk menakut-nakutkan penjawat awam, petugas barisan hadapan, Ahli-Ahli Parlimen dan seluruh rakyat.

Disediakan oleh:
Muhammad Rafique bin Rashid Ali
Law Practice of Rafique
Shah Alam
16.11.2020