Kerajaan negeri Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) memperkenalkan gelang hijau pengawasan COVID-19, untuk dipakai individu tertentu yang perlu menjalani pemantauan, berkuat kuasa semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin, berkata gelang hijau itu akan dipakai oleh pegawai termasuk golongan kenamaan (VIP) dari zon merah yang bertugas ke negeri ini atas urusan rasmi.
Sebelum ini, katanya, gelang merah jambu dipakaikan kepada individu dari zon merah memasuki ke negeri itu atas tujuan umum seperti pulang ke kampung dan mereka perlu dikuarantin wajib 14 hari selepas ujian saringan COVID-19.
“Bermula semalam, kita perkenalkan gelang pengawasan hijau bagi pegawai atau VIP yang ke negeri ini atas tujuan rasmi.
“Ia akan dipakaikan di sekatan pintu masuk negeri termasuk di lapangan terbang dan empat pintu masuk ke negeri ini.
“Jika surat kebenaran merentas negeri bertujuan untuk bermesyuarat, individu berkenaan hanya dibenar ke lokasi mesyuarat dan perlu pulang ke negeri asal sebaik urusan rasmi selesai manakala gelang akan digunting.
“Mereka tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya tidak mempunyai simptom,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.
Dr Izani turut meluahkan kebimbangan susulan penutupan cuti persekolahan yang diumumkan semalam dan meminta masyarakat terutama rakyat negeri ini kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Alhamdulillah, setakat ini Kelantan tidak melebihi 200 kes COVID-19, namun kita khuatir apabila mereka yang berada di asrama dan universiti pulang dengan kebanyakannya dari zon merah.
“Kita minta mereka kekal patuh kepada SOP dan menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya.