Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Sabu hari ini berkata bahawa perpaduan di antara kepimpinan di kalangan parti itu adalah akar kekuatan mereka.
Menurutnya parti Amanah tidak mempunyai pemimpin yang luar biasa dan apa yang menjadi kekuatan bagi parti itu adalah pengukuhan di kalangan parti.
“Kelebihan parti kita adalah perpaduan di kalangan pemimpin yang saling memahami di antara satu sama lain.
“Sejarah sebelum ini seperti di Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak, ketika itu umur Amanah terlalu muda dan pada ketika itu pelbagai pandangan dan cadangan dilontarkan oleh kepimpinan. Akhirnya Amanah diberikan mandat untuk bertanding sebanyak 13 kerusi.
“Kita hilang wang pertaruhan sebanyak 9 kerusi dan empat kita berjaya kekalkan. Ketika itu tidak ada seorang pun pemimpin Amanah yang mempertikaikan keputusan parti atau mengungkit dengan apa yang berlaku.
“Begitulah kekuatan pemimpin Amanah yang mana bersatu, sehati sejiwa dalam usaha memenangkan parti ini ketika itu,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Parti Amanah Negara, Negeri Johor 2020 di hotel Katerina Batu Pahat, Johor.
Dalam pada itu, Mohd Sabu juga telah menjangkakan bahawa semangat perkauman ini akan terus dimainkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui JASA.
“Untuk Belanjawan 2021 semalam, kita dapat lihat bagaimana peruntukan sebanyak RM 81 juta telah diberikan kepada pembangunan JASA.
“Kita boleh menjangkakan bahawa isu perkauman dan momokan bahawa Amanah adalah kuli DAP akan dimainkan secara berleluasa melalui badan tersebut.
“Kita kena bersedia serangan dari segi media dan sebagainya yang pastinya akan memainkan peranan untuk membunuh musuh mereka (PN) melalui badan tersebut,” katanya lagi.
Berita penuh :https://malaysiadateline.com/perpaduan-di-antara-kepimpinan-adalah-kekuatan-amanah/