Kena tulis nama dulu jika nak beli minyak masak paket

Kena tulis nama dulu jika nak beli minyak masak paket. Pemilik kedai runcit di sekitar Rantau Panjang mewajibkan pelanggan menulis nama jika mahu membeli minyak masak bersubsidi.

Tinjauan di beberapa kedai runcit mendapati selain syarat berkenaan perlu dipatuhi, setiap pembeli juga dihadkan pembelian satu kilogram (kg).

Pembeli, Fatin Nur Najwa Che Razak, 28, berkata dia memberi nama sejak dua minggu lalu kerana dimaklumkan ia adalah arahan daripada pihak berkuasa.

“Saya akur demi mendapatkan minyak masak. Setakat ini, minyak masak satu kilogram dijual pada harga RM2.80 sehingga RM3 sepeket.

“Sebelum ini, kami diwajibkan membeli gula kemudian baru dibenarkan membeli minyak namun kini ‘taktik’ berkenaan sudah tiada selepas isu minyak masak menjadi perbualan hangat,” katanya yang mengambil inisiatif membeli minyak masak setiap kali ke kedai runcit supaya stok di dapur tidak putus.

Kena tulis nama dulu jika nak beli minyak masak paket

Peruncit yang mahu dikenali sebagai Zailah, 42, berkata dia merekodkan nama pembeli bagi memudahkan urusan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dalam perkembangan sama, hasil tinjauan di beberapa pasar raya mendapati minyak lima kilogram dijual serendah RM39.90 sehingga RM42.50, menunjukkan sedikit penurunan berbanding RM45 sebotol sebelum ini.

Terdapat juga pasar raya yang menjual minyak masak satu kilogram di kaunter pembayaran pada harga RM2.50 sepeket dan dihadkan kepada dua kilogram seorang.

Selain itu, beberapa kedai runcit di pekan Rantau Panjang didapati kehabisan bekalan minyak masak peket mahupun botol susulan permintaan tinggi selain stok terhad.

BACA:

Wanita tular dera kanak-kanak dedah punca sebenar kejadian

Penerima BSH layak sertai Skim Insurans Peduli Sihat, ini manfaatnya

‘Gemuk punca Shuk Sahar curang’, Rossa Sera akhirnya dedah sesuatu