Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan peminjam yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman
Atau pembiayaan supaya segera merujuk kepada pihak bank mereka bagi mengelak berdepan keadaan yang lebih sukar pada masa depan.
Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat BNM, Datin Arlina Ariff, tindakan segera merujuk kepada bank
membolehkan peminjam berunding dengan pihak bank bagi membincangkan pilihan dan pembayaran balik seperti penstrukturan atau penyusunan semula pembiayaan mereka.
Beliau juga menasihatkan peminjam yang menghadapi masalah itu supaya jangan menunggu sehingga pihak bank mengambil tindakan undang-undang kerana ia akan merumitkan lagi keadaan.
Katanya, terdapat beberapa implikasi yang bakal dihadapi peminjam yang membiarkan masalah pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan mereka berlarutan seperti faedah pinjaman atau pembiayaan mereka akan dinaikkan; menanggung segala kos dan caj bagi tindakan undang-undang yang diambil oleh pihak bank dan risiko aset boleh dilelong.
Selain itu, bayaran tertunggak akan tertera dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS); kesukaran memohon pinjaman/pembiayaan kewangan pada masa depan dan boleh diisytihar bankrap bagi jumlah baki pembiayaan melebihi RM50,000.
“Jangan berlengah dan mengelak daripada pihak bank. Bertindak segera merujuk kepada pihak bank anda. Bincangkan jalan terbaik bagi membantu anda untuk terus membayar hutang sama ada melalui penjadualan atau penyusunan semula pinjaman atau pembiayaan.
“Sekiranya tiada jalan penyelesaian yang boleh diambil, pelanggan boleh merujuk perkara ini kepada Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan kaunseling serta menyertai program pengurusan hutang oleh AKPK,” katanya pada taklimat media mengenai khidmat nasihat yang disediakan Pusat Perhubungan Pelanggan Bank Negara Malaysia (BNMLINK) di sini, hari ini.
Arlina berkata, sekiranya peminjam mempunyai sebarang masalah berkaitan produk dan perkhidmatan yang disediakan institusi kewangan, mereka juga dinasihatkan supaya merujuk unit aduan bank yang terbabit.
Beliau berkata, pelanggan bank yang tidak berpuas hati dengan keputusan institusi kewangan boleh merujuk perkara berkenaan kepada BNMLINK dan BNMTELELINK di 1-300-88-5465.
BACA: Sajat buka mulut jelaskan perkara sebenar selepas didakwa kena cekup dengan polis Australia