Komposer terkenal Ruslan Mamat meninggal dunia

Komposer dangdut popular era 1990-an, Ruslan Mamat, 59, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung, jam 9 malam di Hospital Serdang, malam tadi.

Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Serdang, kira-kira dua minggu lalu selepas mendapat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Isterinya, Rahmah Ismail berkata, arwah meninggal dalam tidur akibat masalah jantung. Bagaimanapun, arwah juga mengalami masalah paru-paru berair.

“Arwah suami dimasukkan ke Hospital Serdang, dua minggu lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Sepanjang tempoh rawatan, keadaan kesihatannya tidak begitu membimbangkan. Arwah masih boleh berjalan-jalan dan bukanlah hanya terlantar atas katil.

“Cuma, arwah tidak lalu makan sejak semalam. Doktor mengesahkan kematiannya akibat serangan jantung, memandangkan meninggal dunia dalam keadaan sedang tidur,” katanya kepada BH Online.

Rahmah berkata, pemergiannya sangat mengejutkan kerana arwah tidak langsung menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini.

“Arwah memang tiada menunjukkan tanda akan pergi, malah tidak ada sebarang pesanan yang ditinggalkan,” katanya.

Berita pemergian arwah diketahui selepas pihak hospital menghubungi Rahmah berikutan tiada ahli keluarga yang dibenarkan menemani pesakit di hospital ekoran pandemik COVID-19.

Jenazah Allahyarham Ruslan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana, Selangor, jam 11 pagi ini dengan dihadiri ahli keluarga dan penggiat seni.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang muzik, Allahyarham menjadi antara komposer yang aktif dalam memartabatkan muzik dangdut dan menaikkan nama penyanyi dalam genre itu seperti Amelina, Mas Idayu, Haiza, Ifa Raziah, Sheeda, dan ramai lagi.

Antara lagu ciptaannya yang popular termasuklah Asyik, Bulan Cinta, Dag Dig Dug dan Angkat Kaki.

Allahyarham pernah bertugas sebagai wartawan di akhbar Watan, Media Hiburan dan Bacaria. Beliau meninggalkan seorang balu, empat cahaya mata dan tiga cucu.

Sumber:https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/11/756287/ruslan-mamat-meninggal-dalam-tidur