Menteri Agama perlu nasihat ahli politik PN

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berpendapat ahli politik kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga mengamalkan politik perkauman dan agama.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri perlu terlebih dahulu menasihatkan ahli politik PN sebelum mereka terbabit menyerang Presiden Perancis dan Amerika Syarikat.

“Ada baiknya jika Menteri Agama sekarang, seorang Senator dan bekas mufti yang tidak datang dari mana mana parti, menasihati pihak berkenaan tentang bahaya dan buruknya politik menggunakan agama dan kaum.

“Kita perlu akui politik kebencian keagamaan dan perkauman yang kita kecam apabila berlaku di negara barat, sebenarnya telah pun lama berakar umbi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menegaskan kecaman dan tuduhan liar seperti kafir harbi dan munafik haraki telah lama bermain di bibir ‘pejuang’ parti berkenaan tanpa tindakan oleh pihak berkuasa.

“Adalah hipokrit untuk mereka terus mengecam pihak lain menggunakan agama dan kaum apabila mereka sendiri mengamalkan perkara yang sama untuk mengejar dan mengekalkan kuasa politik,” tempelaknya.

Sehubungan itu, Pengerusi AMANAH Terengganu berkenaan menasihatkan ahli politik kerajaan PN bercermin diri terlebih dahulu sebelum mengutuk Emannuel Macron dan Donald Trump.

“Sebelum pemimpin Pas dan Umno mengecam sikap serta cara politik Macron dan Trump, hendaklah mereka berdiri di hadapan cermin yang besar untuk muhasabah diri.

“Adakah cara mereka berpolitik memecah belahkan itu adalah mengikut ajaran serta sunnah Rasullulah SAW atau adakah mengikut nafsu semata-mata, asal dapat berkuasa?” bidasnya.

Beliau menyifatkan politik perkauman dan agama sering dimainkan di negara ini tanpa tindakan sepatutnya oleh pihak berkuasa.

“Baru-baru ini sebelum PRN Sabah, seorang Timbalan Menteri dari Pas telah mengeluarkan kenyataan menyerang agama Kristian secara lantang dan terbuka.

“Ini jelas bertentangan dengan ajaran Rasullullah SAW supaya kita tidak menghina agama lain supaya pihak berkenaan tidak menghina agama kita pula.

“Apa apa perbezaan pendapat bolehlah dimurnikan melalui proses dialog berilmu secara teratur,” tegas Raja Kamarul lagi.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/menteri-agama-perlu-nasihat-ahli-politik-pn-usah-main-agama-kaum/