Mohon wujudkan peluang pekerjaan dalam Belanjawan 2021

Mewujudkan peluang pekerjaan adalah agenda utama yang perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan 2021, kata Senator Liew Chin Tong.

Menurut beliau, melalui Belanjawan 2021 dan dalam jangka masa dua tahun kerajaan harus memberikan komitmen untuk mewujudkan satu juta pekerjaan untuk rakyat Malaysia, dengan gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan.

“Tidak ada masalah ekonomi lain yang lebih penting daripada soal pekerjaan.

“Kita harus meletakkan agenda mencipta peluang pekerjaan dan kerajaan perlu menjadi pemangkin untuk memacu agenda ini,” kata Chin Tong dalam kenyataan semalam.

Pengerusi DAP Johor itu turut mengajak semua pihak bersepakat mengenai keperluan untuk mewujudkan permintaan agar ekonomi terus meningkat.

“60 peratus daripada KDNK terdiri daripada perbelanjaan pengguna. Sekiranya permintaan pengguna secara keseluruhan menyusut, ekonomi akan menguncup dan berisiko jatuh kepada keadaan yang lebih sukar.

 

Beliau turut memetik laporan PERKESO bahawa 90,000 orang telah hilang pekerjaan tahun ini, peningkatan sebanyak 278 peratus bagi tempoh yang sama pada 2019.

“Bank Dunia menganggarkan ekonomi Malaysia akan menyusut sebanyak 4.9 peratus pada tahun 2020, sementara Bank Negara Malaysia (BNM) menganggarkan penguncupan antara 3.5 peratus hingga 5.5 peratus.

“Bantuan ihsan, tunai dan lain-lain cara juga dapat membantu mengurangkan kehilangan pendapatan pada suatu keadaan tertentu, dan kerajaan wajar mengambil sikap begini.

“Namun, cara ini bukanlah penyelesaian yang sempurna dan tidak dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang.

“Oleh itu, jika kerajaan tidak secara aktif mencipta peluang pekerjaan melalui dasar awam, kita akan melihat situasi yang sangat suram,” ujarnya lagi.

Berita penuh :https://www.johorkini.my/mewujudkan-peluang-pekerjaan-perlu-jadi-agenda-utama-belanjawan-2021/