Air sungai keruh menjadi petunjuk awal penemuan kegiatan melombong emas secara haram dilakukan dua lelaki warga asing dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Ulu Jelai, di sini.
Pegawai Pejabat Hutan Daerah Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad, berkata anggota unit penguatkuasa terpaksa berjalan kaki sejauh tujuh kilometer dan mengharungi dua anak sungai untuk sampai ke lokasi, Sungai Kasai menjadi pusat kegiatan melombong secara haram itu.
Katanya, kegiatan berkenaan berada dalam Kompatmen 128, 110 dan 111 Hutan Simpan Ulu Jelai yang sebelum ini terkenal dengan kegiatan melombong emas secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab dilakukan secara individu dan berkumpulan.
Katanya, ketika serbuan dilakukan dua lelaki warga Myanmar berumur 26 dan 30 tahun pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan, mereka dipercayai menjadi dalang utama kegiatan melombong berskala sederhana itu dengan menggunakan kaedah palong, pam air dan jentera.
“Siasatan mendapati, sindiket terbabit menjadikan sepanjang Sungai Kasai sebagai lokasi utama kegiatan melombong, jengkaut digunakan untuk mereka membuat dan mengambil tanah bagi proses menapis bahan galian menggunakan palong besi.
“Dua lelaki terbabit dipercayai berpengalaman luas mencari gali bahan galian terutama emas, mereka juga mendapat sokongan beberapa individu yang bertindak menguruskan kegiatan itu,” katanya dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya bertindak menyita kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, jengkaut, palong, enjin pam air dan enjin kuasa elektrik.
Nor Shahrini berkata, Pejabat Hutan Daerah Lipis memandang serius kegiatan menceroboh hutan simpan dan kegiatan melombong emas secara haram di daerah ini, tindakan tegas menanti sindiket terbabit.
Katanya, kegiatan melombong emas di kawasan sungai boleh menyebabkan berlakunya kejadian hakisan, aktiviti menebang pokok dan pencemaran sumber air.
“Kegiatan melombong emas secara haram bukan sahaja menjejaskan bentuk muka bumi tetapi turut merugikan kerajaan negeri yang gagal menerima sebarang bayaran hasil bumi,” katanya.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/11/756168/warga-asing-dalang-lombong-emas-haram