OPR naik tapi jumlah permohonan pinjaman semakin meningkat. Permohonan pinjaman menunjukkan peningkatan meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali pertama sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.00 peratus pada Mei lalu.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Fiona Leong, berkata permohonan pinjaman pada Jun melonjak 18 peratus bulan ke bulan atau 42 peratus tahun ke tahun meskipun kenaikan 11 mata asas bulan ke bulan dalam kadar purata pinjaman kepada 3.79 peratus.
Katanya, permohonan pinjaman kenderaan turut melonjak 16 peratus bulan ke bulan, berkemungkinan didorong oleh tarikh akhir pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), selain peminjam cuba mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah dengan menjangkakan kenaikan selanjutnya OPR.
“Secara keseluruhan, penunjuk pinjaman adalah kukuh, dengan permohonan pinjaman sistem Januari-Jun, kelulusan dan pengeluaran masing-masing meningkat 11.2 peratus, 24.9 peratus dan 19.4 peratus,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Mengulas lanjut, Leong berkata, pinjaman dalam sistem melonjak ke paras tertinggi bulanan setakat tahun ini, meningkat 0.7 peratus bulan ke bulan pada Mei dan 5.6 peratus tahun ke tahun.
Katanya, peningkatan itu selaras dengan unjuran bahawa momentum perniagaan kekal mampan walaupun terdapat kebimbangan mengenai inflasi dan persekitaran kadar faedah yang meningkat.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun, pinjaman sistem tumbuh menjejaki unjuran setahun penuh kami iaitu kekal pada 5.1 peratus tahun ke tahun.
“Pinjaman gadai janji kediaman meningkat 0.6 peratus bulan ke bulan dan 7.3 peratus tahun ke tahun, modal kerja dengan 1.4 peratus bulan ke bulan dan 7.4 peratus tahun ke tahun pula menunjukkan peningkatan yang kukuh,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa permohonan untuk pinjaman berkaitan pembinaan yang melonjak hampir tiga kali ganda pada Jun, namun kelulusan merosot empat peratus bulan ke bulan.
“Panduan daripada bank menunjukkan bahawa pemberi pinjaman lebih berhati-hati terhadap pinjaman untuk tujuan pembinaan susulan peningkatan kos bahan binaan dan kekurangan buruh yang menjadi cabaran kepada peserta industri.
“Pinjaman susut nilai kasar (GIL) berkaitan pembinaan meningkat 19 peratus bagi tempoh Januari-Jun dan nisbah GIL tertinggi pada 6.36 peratus berbanding nisbah GIL perniagaan keseluruhan sebanyak 2.38 peratus,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis CGS-CIMB, Wilson Ng berkata, momentum dua segmen pinjaman utama menunjukkan pertumbuhan dengan pinjaman isi rumah meningkat lima peratus pada akhir Mei dan pinjaman perniagaan pula menokok 5.5 peratus bulan ke bulan.
“Kami berpandangan pertumbuhan pinjaman telah mengatasi tekanan inflasi dan kenaikan OPR hasil daripada pemulihan ekonomi Malaysia yang kukuh,” katanya.
BACA:
Ini tips untuk elak aksi ‘cium’ kereta depan, semoga bermanfaat
BAKIPT : Bantuan awal kemasukan IPT, mohon sekarang
Kena baca.. 10 fakta mengapa perlu elak beri anak anda makan mi segera