Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dilihat aktif campur tangan menerusi media terhadap urusan Kerajaan Negeri Kedah hanyalah menyebabkan banyak pekung kelemahan negerinya sendiri terdedah.
Ketika Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Ramasamy Palanisamy cuba mengheret tindakan perobohan kuil di Kedah sebagai hasutan perkauman, netizen pula mempertikaikan sikap Pulau Pinang terhadap hal ehwal Islam dan Melayu.
Advertisement
Begitu juga apabila Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan usaha penerokaan elemen nadir bumi (REE) di negeri itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA), Dato’ Ir Jaseni Maidinsa membantahnya.
Tempelaknya bahawa penerokaan itu akan menjejaskan alam sekitar dan mengancam kawasan tadahan yang menjadi sumber bekalan air mentah telah menerima bidasan lebih panas terhadap projek-projek diusahakan pihak Pulau Pinang.
Banyak pihak tampil membongkar, sungai-sungai di pulau itu bukan sahaja tercemar dengan teruk, malah Pulau Pinang ghairah membangunkan banyak projek mega yang telah merosak dan bakal mengancam serta memusnahkan alam sekitar.
Direkodkan berlaku, penarahan bukit bukau telah mengakibatkan banjir serta runtuhan tanah telah mengorbankan nyawa, selain pembangunan yang bakal memusnahkan ekosistem dan sumber hasil laut negeri itu.
Terbaharu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow atas kapasiti Ahli Parlimen Tanjung bertindak mengemukakan pertanyaan ke Dewan Rakyat mengenai usaha memelihara kawasan tadahan air Ulu Muda.
Dalam jawapan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man telah membentangkan fakta betapa Kedah telah mewartakan Ulu Muda itu sebagai kawasan tadahan air, sekali gus menjamin bekalan air mentah ke Sungai Muda.
Malang untuk Chow, apabila terdedah bahawa Pulau Pinang pula sebaliknya belum mewartakan kawasan tadahan air sendiri, yang hanya selepas dua hari baharulah dijawab Chow menerusi media, seolah-olah dia juga tidak mengetahui hal itu.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, pihaknya telah mewartakan kawasan dimaksudkan sejak tahun 2004 lagi tetapi menggunakan perundangan di bawah negeri yang mempungai tujuan sama dengan akta Persekutuan.
Pun demikian, komitmen Pulau Pinang masih diragui dalam menjamin kelestarian alam sekitar khususnya kawasan tadahan air sebagaimana pertikaian disuarakan Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam (LEKAS), Zikrullah Ismail.
Beliau mengemukakan beberapa fakta bahawa jajaran Lebuhraya 6 lorong Pan Island Link 1 (PIL1) akan dibina berdekatan tiga lokasi pengambilan air (water intake point) berdekatan Empangan Air Itam.
“Jajaran Lebuhraya PIL1 ini rupanya terletak kira-kira 350 meter (m) di hulu Tat’s Stream intake point. Manakala persimpangan Terowong-Viaduct bagi PIL1 ini pula terletak 150 m daripada Air Itam main stream intake point.
“Dalam laporan portal MalaysiaKini mereka membuat komen tambahan bahawa 3 intake point di atas adalah sumber bekalan air untuk Air Itam dan semestinya untuk penduduk Penang di sebelah pulau.
“Untuk rekod, Projek Lebuhraya PIL1 yang berisiko mencemar sumber air ini juga merupakan lebuhraya yang mencatatkan harga yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia iaitu diantara RM7.5 bilion hingga RM9.6 bilion untuk jarak hanya 19.5 kilometer .
“Jika dikira mengikut nilai setiap kilometer adalah di antara RM 385 juta hingga RM 492 juta. Wow! Hampir RM500 juta per kilometer,” ujarnya merujuk fakta dari NGO Penang Hills Watch.
Sementara itu Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman pula menyeru supaya Pulau Pinang bersikap gentlemen dalam isu tuntutan RM50 juta dari Kedah sebagai caj sumber bekalan air mentah Sungai Muda yang dimanfaatkan.
Tegas beliau, isu tersebut bukan antara DAP dan PAS, tetapi ia melibatkan dua kerajaan negeri di mana pernah melibatkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
“Mukhriz pernah berkata, terdapat usaha memohon pampasan daripada Kerajaan Persekutuan sebagai ganti premium pembalakan berikutan Kedah tidak mempunyai sumber pendapatan lestari seperti minyak dan gas.
“Akibat ingin menampung keperluan Perlis dan Pulau Pinang yang jauh lebih besar dari kegunaan Kedah yang terpaksa mengehad pembalakan dan hal ini memang memerlukan pampasan tertentu,” ujarnya.
Ketika ini Pulau Pinang menggunakan sebanyak 1,100 juta liter sehari (MLD) air dari Sungai Muda yang bersumberkan dari kawasan tadahan Ulu Muda, sedang Kedah hanya mengguna 800,000 MLD sahaja
Sumber:https://harakahdaily.net/index.php/2020/12/18/campur-tangan-p-pinang-hanya-dedah-pekung-sendiri/