Panas!!! Modal Jual nama calon Perdana Menteri sudah tidak relevan – Iskandar Fareez

 Gabungan parti politik perlu ubah pendekatan untuk memenangi hati pengundi, bukan lagi dengan hanya menonjolkan calon Perdana Menteri semata-mata, kata Pengarah Komunikasi Research for Social Advancement (REFSA) Raja Ahmad Iskandar Fareez Raja Shamsul Kamal.

Jelas beliau, apa yang boleh dilakukan oleh mana-mana pakatan yang ingin memenangi hati pengundi ialah, menyediakan barisan kepimpinan berkaliber yang berpotensi menerajui kerajaan.

Dengan cara itu, katanya, ia dapat membantu pengundi membuat anjakan paradigma dalam membuat pilihan pada pilihan raya kelak.

“Kalau kita lihat sistem kita yang beracuan Westminster Parliamentary, walaupun sosok atau karektor pemimpin Perdana Menteri itu sangat baik, tetapi kalau kabinet tidak berfungsi, maka kepimpinannya akan diandaikan sebagai gagal.

“Jadi kalau kita nak lihat bagaimana satu kerajaan boleh diunjurkan untuk bergerak dengan efisyen maka komposisi cadangan Kabinet itu sendiri mestilah mantap daripada segi kebolehan dan latar belakang mereka,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini

Katanya lagi, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, negara ini telah menyaksikan pertukaran struktur parti memerintah yang agak radikal, berbanding zaman Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.

Pakatan Harapan (PH), selepas memenangi proses demokrasi itu, telah meletakkan calon Perdana Menteri yang bukan dari parti komponen terbesar, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika zaman BN, calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri lazimnya datang dari parti UMNO, menjadikan parti itu sentiasa dominan dalam merangka dasar serta hala tuju negara.

Lebih menarik, Perikatan Nasional (PN) menyaksikan UMNO tidak lagi mempunyai dominasi dan pengaruh besar memandangkan Perdana Menteri ialah Presiden Bersatu sendiri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Iskandar berkata, tempoh lebih 60 tahun berada bawah pentadbiran BN yang ditunjangi oleh UMNO, menyaksikan rakyat Malaysia terbiasa dengan dominasi hegemoni parti politik tunggal.

Beliau berkata, semua pihak harus sedar tiada lagi satu parti yang dominan dalam kerajaan, baik semasa era pentadbiran PH mahupun PN.

“Bagaimana pun, masih ramai lagi ahli politik yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa landskap politik Malaysia sudah berubah,” katanya.

Raja Ahmad Iskandar mendakwa, ketidakstabilan pentadbiran Muhyiddin hari ini lahir daripada persaingan antara Bersatu dan UMNO untuk menjadi ‘abang besar’ dalam gabungan PN.

Ini, katanya, akan memberi impak kepada bentuk kerjasama atau mungkin ‘percakaran pendapat’ pihak itu pada PRU akan datang.

Menuju ke hadapan, beliau berkata, parti-parti politik di Malaysia haruslah menginsafi perkembangan politik semasa dan membina semula gabungan politik yang lahir daripada semangat kerjasama bukannya dominasi abang besar.

“Bagi gabungan politik, ini bermakna mereka harus mengetengahkan sekumpulan (cohort) pemimpin yang berketerampilan dan berkebolehan demi memastikan kelangsungan (survival) mereka.

“Kepelbagaian bakat dengan mencampurkan nama baharu dengan personaliti-personaliti yang berpengalaman mungkin berupaya menjadi kunci untuk memikat para pengundi di masa hadapan,” katanya lagi.

Sumber:https://www.astroawani.com/berita-politik/jual-nama-calon-perdana-menteri-sudah-tidak-relevan-iskandar-fareez-282439