Kemudahan internet yang lemah di kawasan luar bandar di sini, mendorong pelajar melakukan pelbagai inisiatif dalam usaha mendapat capaian rangkaian telekomunikasi untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.
Ada dalam kalangan pelajar di sini, sanggup memanjat pokok untuk memasang peralatan tertentu demi mendapat capaian yang lebih laju bagi memastikan proses pembelajaran mereka tidak terganggu.
Pelajar, Saiful Izwan Mohd Hilmi, 21, dari Kampung Tembak B di sini, mengakui berdepan masalah untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan sejak awal pelaksanaan kelas secara dalam talian demi memastikan capaian internet pada tahap yang baik.
“Kami terpaksa bergerak di kawasan rumah dan persekitaran sambil memegang telefon untuk mencari lokasi yang mempunyai capaian internet yang lebih baik dan stabil.
“Kadang-kala terlalu sukar, itu yang menyebabkan pembelajaran terganggu,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, ke rumahnya bagi memantau kelembapan talian internet.
Pelajar semester lima Pengajian Islam di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, itu berkata berikutan bimbang pelbagai masalah timbul khususnya keselamatan apabila berada di luar rumah, dia mengambil langkah meletakkan “router wifi” di atas sebatang pokok bagi memastikan capaian internet lebih lancar.
“Itu kaedah yang saya buat bagi memastikan pembelajaran tidak terganggu tetapi masih tidak menyelesai masalah terutama ketika waktu puncak, talian turut terganggu.
“Saya meletakkan router di atas pokok supaya internet laju, kerana ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, ramai yang pulang ke kampung dan menggunakan talian internet,” katanya.
Beliau berkata, capaian internet yang digunakannya hanya laju pada waktu pagi sahaja tetapi mulai perlahan menjelang tengah hari dan petang hingga sukar mengikuti pembelajaran dalam talian .
Rakannya, Mohd Faizul Ezuan Saidi, 21, dari Kampung Guar Tinggi, Kuala Ketil, berkata dia menggantung router pada bumbung rumah keluarganya demi mendapat capaian internet lebih laju.
“Saya terpaksa mencari liputan talian di segenap kawasan rumah supaya internet laju untuk pembelajaran.
“Saya juga mengalami masalah terutama membabitkan tugasan untuk menghantar video yang mana mengambil masa sekitar 3 hingga 4 jam,” katanya.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, perkara ini telah lama dan berulang kali diutarakan kepada kementerian yang terbabit.
Beliau meminta Kementerian Komunikasi memberi keutamaan kepada penduduk di kawasan Baling, Sik dan Padang Terap di Kedah yang sukar menggunakan internet untuk belajar atas talian.
“Saya selalu mengutarakan dalam sidang dewan supaya kementerian terbabit memberi keutamaan di kawasan luar bandar.
“Ada pelajar yang menggunakan kreativiti mereka dengan memanjat pokok membeli wayar, batang paip untuk mencari talian yang lebih baik untuk belajar,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh PKPB ini bukan hanya pelajar universiti sahaja yang belajar dalam talian tetapi pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) juga belajar dalam talian.
“Anak-anak di sekolah rendah pun sekarang belajar atas talian, jadi wajarlah kementerian terbabit peka masalah yang dihadapi pelajar di kawasan pedalaman.
“Bagaimanapun saya juga menyediakan kemudahan untuk pelajar di Pusat Khidmat Kuala Ketil dan mereka boleh pergi belajar di situ dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.