Pas Melaka mahu kerusi boleh menang walau berdepan dengan DAP

PAS Melaka menuntut sekurang-kurangnya tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen yang diyakini boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pesuruhjayanya, Datuk Kamaruddin Sedik, berkata beliau sudah memaklumkan hasrat itu sebelum ini, namun menyerahkan keputusan kepada kepemimpinan parti peringkat pusat menentukannya.

Katanya, pihaknya tidak boleh membuat desakan mengenai agihan kerusi tetapi berharap Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) perlu mengambil kira peranan PAS dalam hala tuju politik negeri ketika ini.

“Janganlah satu atau dua kerusi (diberikan kepada PAS). Itu terlalu rendah dan kita harap lebih daripada tiga kerusi termasuk satu Parlimen. (Kerusi) itu pun yang boleh menang sebab kalau kita tengok kepada pola politik sekarang, walaupun PAS tidak mempunyai kerusi di Melaka, kami dilihat berperanan besar sebagai ‘king maker’ dalam politik kerajaan ketika ini.

“Dalam keputusan UMNO (mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi) semalam pun, mereka tetap ingin bersama PAS. Begitu juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Sebab peranan PAS ini penting untuk penyatuan orang Melayu,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan Program Jom Ke Sekolah yang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, di sini hari ini.

Sebelum ini, Kamaruddin yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, dilaporkan berkata, PAS negeri tidak mempunyai masalah untuk menentukan pembahagian kerusi pada PRU-15 dan sentiasa meletakkan kepercayaan kepada gabungan kerjasama politik dalam MN serta PN.

Mengulas mengenai peranan parti itu untuk mengurangkan pergeseran antara UMNO dan BERSATU negeri, Kamaruddin berkata, PAS Melaka tidak akan mencampuri urusan dalaman kedua-dua parti itu, namun berusaha menjadi pendamai.

“Kita tidak mahu mencampuri keputusan mereka (UMNO dan BERSATU) dan kami di peringkat negeri senada dengan PAS pusat untuk menyatukan orang Melayu, selain tidak mahu melihat pertandingan tiga penjuru dalam PRU-15.

“Kita tak mahu mengulangi kesilapan pada PRU-14 dan kita berusaha untuk menyejukkan pergeseran dan cuba jadi ‘orang tengah’ untuk mendekatkan kembali hubungan UMNO dan BERSATU khususnya di Melaka,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2021/01/773548/pru-15-pas-melaka-mahu-kerusi-boleh-menang