Pasangan kekasih berpakat pecah rumah

Terdesak untuk membeli dadah dan pil kuda menyebabkan sepasang kekasih terjebak dalam kegiatan pecah rumah, kedai, masjid dan pejabat kerajaan sekitar Felda Chiku 5, sejak seminggu lalu.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas kedua-duanya yang berusia 27 dan 31 tahun ditahan di sebuah rumah di felda berkenaan, Isnin lalu.

Malah, dalam tempoh itu kumpulan yang dikenali sebagai ‘geng takir’ sudah terbabit dalam 10 kes jenayah di sekitar Felda Chiku 5, sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk tempatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kedua-duanya yang juga penduduk tempatan dipercayai tinggal bersekedudukan di rumah berkenaan ditahan pada 1 pagi, 30 November lalu.

“Hasil soal siasat ke atas pasangan itu mendapati barang yang dicuri sudah dijual untuk mendapat wang segera.

“Mereka dipercayai menggunakan cangkul untuk mengumpil kunci sebelum memecah masuk premis dan mencuri barangan berharga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Katanya, ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah.

Dalam perkembangan sama, Mohd Taufik berkata, seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga ahli kumpulan ‘geng dene’ ditahan kerana terbabit dalam kes pecah kedai sekitar Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh, di sini, 21 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis sedang memburu seorang lagi rakan suspek yang melarikan diri ketika serbuan di sebuah rumah di RKT terbabit.

“Lelaki ini yang juga penduduk tempatan sudah terbabit dalam 14 kes pecah kedai.

“Hasil serbuan kita menemui tong ais, tong gas dan kuali yang difahamkan digunakan untuk memasak daun ketum,” katanya.

Beliau berkata, kesemua rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan bernilai RM100,000 dan mereka masih direman di IPD Gua Musang untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/649000/pasangan-kekasih-berpakat-pecah-rumah