Pegawai tentera didakwa pecah amanah hampir RM1 juta

Dua pegawai kanan tentera termasuk seorang pesara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dakwaan pecah amanah dan menyalahgunanakan dana Tabung Kebajikan Akademi Latihan Ketenteraan berjumlah hampir RM1 juta yang dilaburkan ke dalam institusi kewangan tidak berdaftar.

Leftenan Kolonel Azman Mohamad Yasin, 57, dan Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin, 63, masing-masing yang didakwa dengan dua pertuduhan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mengikut tuduhan pertama, Azman serta Mohamad Adkaa selaku Pengarah dan Komandan Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ketika itu, diamanahkan dengan dana akaun Tabung Kebajikan akademi berkenaan.

Mereka didakwa melakukan pecah amanah ke atas dana terbabit dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM500,000 bagi pelaburan melalui institusi kewangan yang tidak berdaftar/sah, di Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, pada 3 Ogos 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda.

Mereka juga didakwa dengan tuduhan pilihan pertama iaitu menyalahgunakan dana terbabit mengikut Seksyen 403 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan serta denda.

Bagi pertuduhan kedua pula, Azman dan Mohamad Adkaa didakwa melakukan pecah amanah ke atas dana tabung sama berjumlah RM420,000 dan tuduhan pilihan menyalahgunakan dana sama bagi pelaburan melalui institusi kewangan tidak berdaftar, yang dilakukan di tempat sama pada 23 September 2016, mengikut Seksyen 409 dan Seksyen 403 kanun sama.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shafini Mustafha menawarkan jaminan masing-masing berjumlah RM100,000 kepada kedua-dua tertuduh.

Mereka juga diberi syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah serta dikehendaki melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Peguam Muhamad Amiraizat Abdul Rani yang mewakili Azman, bagaimanapun memohon ikat jamin dikurangkan kerana anak guamnya yang menghidapi penyakit lemah jantung, menanggung keluarga dan masih dibicarakan di Mahkamah Tentera atas tuduhan berkaitan.

Manakala, peguam Nur Asyikin Zakaria yang mewakili Mohamad Adkaa pula memohon anak guamnya dibenarkan membayar jaminan secara ansuran sebelum atau pada 7 Disember ini kerana hanya mampu membayar RM15,000 pada hari ini berikutan hanya bergantung kepada wang pencen untuk meneruskan kehidupan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Mahyon Talib membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri pada setiap 1 hari bulan di pejabat SPRM berdekatan.

Mahyon turut membenarkan permohonan Mohd Adkaa untuk membayar baki jaminan pada atau sebelum 7 Disember ini dan menetapkan 22 Disember ini bagi sebutan semula kes.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/645000/pegawai-tentera-didakwa-pecah-amanah-hampir-rm1-juta