Seorang pemuda ditemui mati dengan dua kesan tikaman pada rusuk dalam kejadian di Kampung Bukit Curi Mukim Bukit Kecil, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 25 tahun dikatakan dibawa oleh ibu dan abangnya berusia 50-an dan 28 tahun, ke klinik untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusoff, berkata mereka memberitahu doktor mangsa mengalami kemalangan, iaitu pinggangnya terkena sabit sewaktu menebas di kawasan rumah.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, mangsa yang juga warga Thailand disahkan sudah meninggal dunia.
“Curiga dengan penerangan daripada ibu dan abang mangsa, klinik memaklumkan perkara itu kepada polis dan kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Zainuddin berkata, ibu mangsa memaklumkan bahawa mangsa dan abangnya bergaduh dalam bilik di rumah mereka, sejak malam tadi.
“Siasatan kes ini menjurus kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan membunuh) yang memperuntuk hukuman mati mandatori,” katanya.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/12/763766/pemuda-maut-ditikam-di-rusuk