Selepas kemunculan istimewa dalam musim kedua program realiti terbitan TV3, Lagu Cinta Kita (LCK2), Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA menjadi bualan hingga tular.
Bukanlah nama asing dalam dunia seni, apatah lagi sensasi yang sering dicetuskannya, kali ini, Azwan yang memiliki pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia penyiaran, muncul dengan pesona baharu yang mengujakan peminat untuk lebih mengenali insan ini.
Sejak dua minggu lalu, rata-rata komen positif mengenai penampilan dan kredibilitinya sebagai pengacara ‘otai’ lebih banyak dikongsi netizen, berbanding kata nista.
Bertanya sendiri kepada Azwan, 54, yang memulakan karier dalam dunia penyiaran sebagai hos program Sampaikan terbitan TV3 pada 1988, LCK2 membuka ruang besar buat dirinya membuktikan kemampuan dengan pengalaman 32 tahun.
“Jujur kata, saya masih lagi rasa seperti bermimpi. Betulkah saya diberi peluang mengacarakan LCK2? Walaupun sudah tampil dalam program itu sebanyak dua kali, saya masih tak percaya. Iyalah, saya sudah berumur 54 tahun, bukannya 34 tahun untuk diberi tugas sebesar itu.
“Kalau hendak diimbas, sudah 25 tahun saya tidak diberi tugas sebesar itu. Kali terakhir saya jadi hos acara besar adalah pada Juara Lagu (AJL) 1995. Ketika itu, acara ini belum diberi nama Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Saya berganding dengan Sharifah Haslinda dan Salleh Yaacob dengan dibantu Mazlan Pet Pet dan Shamsul Ghau Ghau.
Zaman itu, 100 peratus skrip saya tulis dan melakukannya untuk hampir 10 tahun. Sekarang, buat kali pertama, saya diberikan skrip yang 100 peratus dihasilkan penerbit,” katanya kepada BH Online.
Namun, Azwan senang hati memikul tugas sebagai pengacara LCK2, apatah lagi, penerbitnya, Muhammad Sufian Che Isa adalah anak didiknya.
“Saya tiada masalah untuk mengikut skrip yang diberi. Alhamdulillah, saya seronok dapat bekerja dengan anak didik hingga bersengkang mata membuat persediaan.
“Saya risau hingga tak boleh tidur. Boleh dikatakan saya hanya tidur sejam sebelum episod pertama LCK2 ke udara.
Namun, syukur saya dapat melakukan tugas itu dengan baik,” katanya.
Menjawab reaksi netizen yang terkejut dengan penampilan dirinya yang tampak susut dan kemas, Azwan mengaku mengamalkan diet dan senaman.
“Alhamdulillah, ramai yang memuji penampilan saya. Saya berusaha untuk LCK2, di mana saya tidak makan nasi selama tiga minggu. Saya juga bersenam di gimnasium untuk mengurangkan berat badan,” katanya.
Pernah dicaci tidak ditawarkan ‘job’ kerana gemuk, Azwan berusaha mengubah penampilan.
“Saya ambil inisiatif untuk menjaga diri dan hasilnya, ramai terkejut saya masih segak. Iyalah, TV3 bagi tawaran kerja kepada kita. Pastinya kita perlu berusaha memberi yang terbaik.
“Walaupun saya dapat tawaran kurang dua minggu daripada episod pertama disiarkan, saya tetap cuba seboleh mungkin,” katanya.
Azwan juga terharu dengan sokongan dan maklum balas positif terhadap sikap profesionalnya melaksanakan tugas mengemudi LCK2.
“Ini kali pertama saya mendapat sokongan 100 peratus daripada orang ramai. Boleh lihat di laman sosial saya, tidak kira Facebook, Twitter dan Instagram, mahupun akaun media sosial TV3, semuanya komen positif.
“Sebelum ini, kalau saya bangun pagi, pasti ada antara 50 sehingga 100 komen negatif diterima di laman sosial. Sekarang, tiada lagi.
“Terima kasih kepada TV3 kerana memberikan kepercayaan ini. TV3 adalah ‘ibu’ saya. Di situlah saya dilahirkan iaitu menerusi program Sampaikan yang disiarkan pada 13 Mac 1988,” katanya.
Azwan masih ingat wartawan BH menjadi individu pertama daripada kalangan media yang menemuramah dirinya.
“Wartawan BH yang pertama menemubual dan menjadikan saya wajah muka depan akhbar Berita Minggu.
“Sejak itulah saya mula ‘naik’ hingga menerima tawaran sampai ke luar negara,” katanya.
Berkongsi tip sebagai hos, Azwan berkata, pengacara perlu mengikut semua aturan dan larangan ditetapkan penerbit atau penganjur majlis.
“Sebagai pengacara, kita perlu ikut semua ‘dos and don’ts’. Ingat tanggungjawab kita mengacarakan program orang, bukan program syok sendiri.
“Kita tidak boleh ‘over’ dan pada masa sama, tidak boleh hendak kalut sangat sebab ia program orang. Antara 25 tahun hingga 30 tahun dahulu, saya pernah dikecam dengan gelaran pengacara ‘syok sendiri’ dan ‘gila glamor’.
“Daripada kecaman itulah membuatkan saya berhati-hati apabila mendapat mikrofon. Terima kasih kerana jika tidak dengan kecaman, saya mungkin tidak sedar.
“Jadi apabila dapat mikrofon, silalah berhati-hati supaya tidak keterlaluan. Hendak melawak boleh, tapi sekali-sekala. Kita tidak mahu orang menyampah tengok program itu,” katanya.
Azwan mengacarakan program LCK2 bersama Elly Mazlien. LCK 2 bersiaran setiap Ahad jam 8 malam dengan menampilkan Hael Husaini, Mas Idayu dan Ajai sebagai juri tetap.
Mengenai kekecohan dicetuskan netizen apabila pengacara Gegar Vaganza (GV), Nabil Ahmad, didakwa memperlekehkan dirinya pada siaran langsung program itu, Azwan tidak menafikan dia agak terkesan.
“Timbul isu itu, nama saya terus menjadi ‘panas’ semula. Jujurnya, saya tiada masalah dengan Nabil atau dengan mana-mana pengacara baharu.
“Contohnya, Elly… Saya sangat senang bergandingan dengannya. Elly bijak. Selalunya, apabila saya digandingkan dengan pengacara muda, mereka banyak bertanya.
“Namun, Elly tidak. Dia mudah faham apa yang diberikan. Elly juga banyak membantu saya, memandangkan mata saya kurang nampak ‘prompter’ di depan akibat faktor usia,” katanya.
Sehubungan itu, Azwan menasihatkan mana-mana individu yang mahu melagakan dirinya dengan sesiapa, agar menghentikan perbuatan itu.
“Saya tak mahu maki orang. Saya maki sebelum ini kerana ‘haters’ yang melampau. Apabila orang komen positif, insya-Allah saya pun positif,” katanya.
Ditanya apakah dia akan terus mengacarakan LCK2, Azwan berterus-terang hanya diberi mandat untuk mengendalikan dua episod program itu.
“Selebihnya, saya tiada komen. Memang saya diberikan tugas untuk dua episod sahaja. Selepas itu, TV3 ada perancangan.
“Tapi saya mahu tegaskan, ini bukanlah gimik. Ada orang cakap ini adalah drama dan strategi pemasaran TV3, saya tegaskan, ia tidak sama sekali.
“TV3 memang tawarkan saya dua episod saja. Sesiapa pun yang mengacarakan LCK2 selepas ini, bukan hak saya untuk bersuara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azwan gembira berkongsi dirinya banyak menerima tawaran selepas muncul dalam LCK2.
“Tiga minggu kebelakangan ini saya berkerja tanpa henti. Saya mengaku rezeki saya semakin luas selepas LCK2. Saya dapat berlakon dengan Ziana Zain dalam drama Madam E Wallet dan bersama produksi Global Station melalui drama Shah Alam 40000.
“Biarpun ketika pandemik COVID-19 ini, saya terima banyak undangan ke majlis. Tapi majlis itu semua patuh prosedur operasi standard (SOP) sesuai dengan syarat utama yang saya beri,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Personaliti TV Terbaik, Anugerah Skrin pada 1994.
Sumber:https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/11/756604/penangan-see-my-level