Pencarian Hawari Hashim temui jalan buntu, ini 3 andaian di sebalik kehilangan Hawari
Tiga andaian mengenai kehilangan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Muhammad Hawari Hashim didedahkan selepas pencariannya menemui jalan buntu sejak dia dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu.
Ketua Misi 2023, Azim Afif Ishak, berkata Hawari mungkin naik semula ke Kem 4 untuk melihat seorang lagi pendaki ME2023, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang berhadapan masalah kesihatan sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 19 Mei.
Menurutnya, ada kemungkinan juga Hawari turun secara bersendirian ke Kem 3 dan tersasar dari trek laluan, seterusnya jatuh ke kawasan berbukit yang sukar dilihat, manakala kemungkinan ketiga, pendaki itu tersesat ke laluan bahagian Tibet.
“Sehingga kini, tiada petunjuk baharu berhubung kehilangan Hawari. Kami turut ambil inisiatif hebahkan berita kehilangannya pada hari kejadian kepada semua operator pendakian Everest sekiranya bertemu atau melihatnya di kawasan pergunungan.
“Ketika kehilangan Hawari juga, jumlah pendaki sudah berkurangan dan ramai sudah mula turun ke kem induk (EBC). Sejumlah pendaki yang masih ada lebih memberi tumpuan kepada misi menawan puncak Everest kerana mengejar masa sebelum aktiviti itu ditutup,” katanya.
Semalam, media melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Hawari ditamatkan dan akan disambung pada musim pendakian tahun depan selepas tidak menemui sebarang petunjuk.
Status Hawari juga dikatogerikan sebagai ‘orang hilang’ (OH) kerana jasadnya masih belum ditemui sehingga kini.
Terdahulu Khamis lalu, pasukan SAR mengadakan pencarian terakhir antara Kem 2 dan Kem 3 selepas melihat gambar objek yang dirakam melalui dron memaparkan seakan-seakan jasad memakai sut berwarna sama dengan dipakai Hawari ketika misi pendakian.
Namun, pasukan operasi SAR yang membuat pengecaman ke lokasi berkenaan mengesahkan objek itu hanyalah longgokan sampah dan khemah yang diterbangkan angin dan bukan jasad Hawari.
Pelbagai usaha dilakukan pasukan SAR untuk mengesan keberadaan Hawari, namun masih tiada sebarang petunjuk kehilangannyayang yang mengejutkan ramai selepas dia dilaporkan berjaya menawan puncak Everest pada jam 3.30 petang waktu Nepal, 18 Mei lalu.
Pencarian dibuat melalui jalan darat menggunakan khidmat malim gunung bermula dari Kem 4 ke Kem 2, selain menggunakan helikopter dan teknologi dron.
Azim berkata, beliau mencadangkan operasi SAR disambung pada misi pendakian tahun depan kerana ia dapat menjimatkan kos, namun perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak yang terlibat.
“Pencarian boleh disambung bermula musim pendakian tahun depan dengan meuar-uarkan perkara itu kepada pendaki. Jika ada yang terjumpa jasad Hawari, mereka mungkin boleh diberikan ganjaran atas usaha dan bantuan yang diberikan.
“Cara itu lebih efektif kerana jumlah pendaki juga ramai ketika musim pendakian berbanding melantik malim gunung yang memerlukan kos tinggi untuk membayar mereka.
“Operasi SAR sebelum ini juga hanya menyasarkan laluan di bahagian Nepal, tetapi jika disambung semula pada masa depan, ia boleh diperluaskan ke laluan di bahagian Tibet,” katanya.
Azim menambah, status Hawari masih menjadi tanda tanya dan tidak boleh diandaikan meninggal dunia selagi jasadnya masih belum ditemui.
BACA: