Pendedahan liabiliti hutang kerajaan dianggar RM1.257 trilion

Hutang bukan statutori Kerajaan Persekutuan sehingga akhir September lalu ialah RM874.3 bilion atau 60.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri, berkata kerajaan sentiasa bertekad untuk mengawal kedudukan hutang negara dan memastikannya tidak menjadi bebanan dalam jangka panjang.

Berdasarkan pengiraan had statutori, katanya, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) berada pada tahap 56.6 peratus daripada KDNK.

“Bagaimanapun, kerajaan juga menanggung dan terdedah kepada komitmen kewangan, seperti RM177 bilion, bagi melaksanakan projek infrastruktur antara lain meliputi pengangkutan awam transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

“Komitmen lain merangkumi hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM32 bilion sehingga September lalu dan anggaran liabiliti kewangan lain sebanyak RM173.3 bilion merangkumi projek-projek Kerjasama Awam Swasta (PPP), Inisiatif Dibiayai Swasta (PFI) dan Pembinaan BLT Sdn Bhd (PBLT).

“Contohnya, projek pembangunan Putrajaya, pembinaan kuarters polis, penyelenggaraan fasiliti kerajaan seperti hospital dan jalan.

“Sekiranya mengambil kira defisit fiskal semasa, termasuk pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi, kedudukan hutang serta pendedahan liabiliti kerajaan dianggar RM1.257 trilion atau 87.3 peratus daripada KDNK pada akhir September lalu,” katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/754726/hutang-pendedahan-liabiliti-kerajaan-dianggar-rm1257-trilion