Pendirian Joe Biden dan Trump amat berbeza

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mendesak rakyat AS memakai pelitup muka bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Biden yang berikrar untuk menghentikan wabak itu sebagai satu keutamaan apabila mengambil alih jawatan daripada Donald Trump pada 20 Januari ini, berkata ‘pelitup muka bukan satu pernyataan politik’.

Dalam ucapan di Delaware selepas bertemu Ahli Jawatankuasa Penasihat COVID-19 yang baru dibentuk, beliau berkata: “Tidak kira siapa yang anda pilih dan apa pendirian anda sebelum hari pilihan raya.”

“Tidak kisah apa parti dan pandangan politik anda… Kita boleh selamatkan puluhan ribu nyawa jika semua orang memakai pelitup muka dalam beberapa bulan ini.

“Ini bukan nyawa Demokrat atau Republikan… Ini nyawa Amerika,” katanya.

Tahap tugasan Biden menjadi jelas apabila ketika negara itu sudah melangkaui 10 juta kes dan berada dalam cengkaman kemungkinan penularan wabak terburuk.

Beliau berkata, statistik menunjukkan bahawa negara itu bakal ‘menghadapi musim sejuk yang sangat suram’.

“Kadar jangkitan, kemasukan ke hospital meningkat dan kematian semakin melonjak,” katanya selepas mendengar taklimat penasihatnya dalam satu mesyuarat dijalankan secara terasing.

Syarikat farmaseutikal Pfizer semalam mengumumkan bahawa analisis awal percubaan vaksin COVID-19 menunjukkan bahawa ia sangat berkesan untuk mencegah wabak itu.

Ia satu perkembangan yang memberikan harapan baharu kerana dunia sedang menunggu untuk mendapatkan berita positif mengenai pandemik berkenan yang sudah mengorbankan lebih daripada 1.2 juta nyawa.

Biden berkata, perkembangan itu adalah satu berita baik, bagaimanapun mengingatkan rakyat mengambil langkah berjaga-jaga yang asas untuk ‘kembali kepada keadaan normal secepat mungkin.’

Beliau berkata, rakyat AS tidak akan memakai pelitup muka selama-lamanya tetapi mereka harus berbuat demikian sehingga vaksin benar-benar sudah sedia untuk digunakan.

“Amat jelas bahawa vaksin ini, walaupun diluluskan, tidak akan dapat digunakan secara meluas selama beberapa bulan yang akan datang,” katanya.

Kenyataan Biden mengenai pelitup muka sangat berbeza dengan Trump, yang menghabiskan lapan bulan terakhir menolak atau memperlekehkan keperluan penggunaannya dan sering mempertikaikan sama ada ia berkesan.

Trump yang masih memegang jawatan hingga Januari, secara terbuka bertentangan pendapat dengan penasihat COVID-19 sendiri terutama dalam pemakaian pelitup muka dan keadaan musim sejuk di mana jangkitan dijangka lebih cepat tersebar.

Biden menamakan Dr Rick Bright, iaitu bekas pegawai vaksin utama dalam pentadbiran Trump yang mengemukakan aduan pemberi maklumat kepada Kongres, sebagai anggota pasukan petugas COVID-19 yang menasihatinya ketika tempoh peralihan.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2020/11/752779/biden-umum-pasukan-petugas-khas-covid-19-minta-rakyat-pakai-pelitup