Peniaga didakwa rogol anak tiri

Peniaga pasar malam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan merogol anak perempuan tirinya yang juga remaja bawah umur antara Jun hingga Disember tahun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan mangsa berusia 14 tahun itu antara 2 hingga 3.30 petang di bilik utama rumah di daerah Manjung masing-masing pada Jun, Julai, dan Disember 2020.

Ketiga-tiga pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail dengan tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi.

Syahrul Nizam dalam pembelaannya memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan anak guamnya itu menunjukkan simptom seorang lembam.

Pihak pendakwaan bagaimanapun membantah permohonan itu disebabkan rumah tertuduh dan rumah ibu saudara remaja perempuan itu yang menjadi kediamannya selepas ibunya meninggal dunia pada April tahun lalu hanya berselang jarak sejauh kira-kira 50 meter.

Syahrul Nizam kemudiannya menawarkan syarat tambahan agar permohonan menjamin anak guamnya itu dibenarkan iaitu tertuduh akan memberikan Aku Janji termasuk berpindah ke lokasi lain yang lebih jauh selain dua syarat lain yang kemudiannya ditetapkan oleh mahkamah.

Selain itu, pihak pembelaan turut memohon mahkmah mengambil kira pendapatan tertuduh sebagai penjual di pasar malam yang sangat terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menetapkan jumlah jaminan yang bersesuaian.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan ke atasnya serta menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan perubatan.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali selain mensyaratkan tertuduh dilarang menggangu mangsa tanpa tertuduh perlu berpindah seperti syarat yang pada awalnya ditawarkan oleh pembelaan.

Sumber:HM