Penipuan e-dagang warga Nigeria, Love Scam

Lima warga Nigeria yang disyaki terlibat dalam kegiatan ‘Love Scam’ dan penipuan e-dagang (pembelian secara dalam talian) ditahan dalam serbuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata kelima-lima warga Nigeria terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita itu ditahan di dua premis di Pangsapuri Ruvena Villa dalam serbuan antara 9 hingga 11 pagi.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, anggota sindiket berkenaan dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pas pelajar institusi pengajian swasta dan kegiatan itu dilakukan bersama rakan serumah serta dibantu rakan di luar negara dengan menyasarkan warga tempatan dan Thailand sebagai mangsa.

“Sindiket ini juga, giat mencari teman wanita dari pelbagai negara yang sanggup menyediakan ‘mule account’ (akaun keldai) yang mana akaun (bank) ini akan digunakan bagi tujuan menipu mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainuddin berkata pihaknya percaya sekurang-kurangnya dua kes melibatkan ‘Love Scam’ dan e-dagang telah diselesaikan dengan penahanan kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun itu.

Beliau berkata polis turut merampas empat komputer riba, 15 telefon bimbit, dua modem bersama router, satu pasport dan sekeping kad ATM.

Katanya, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam perkembangan lain, Zainuddin berkata sepanjang tahun lepas, pihaknya menerima 6,337 kes penipuan e-dagang melibatkan kerugian bernilai RM43.5 juta manakala kes penipuan ‘Love Scam’ mencatatkan 1,697 kes dengan nilai kerugian RM64.33 juta.

Beliau berkata bagi mengelak daripada menjadi mangsa, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada apabila membuat transaksi dalam talian dengan individu tidak dikenali dan mengelak membuat bayaran ke akaun individu lain selain nama penjual.

“Elakkan menerima ‘friend request’ daripada orang tidak dikenali dan jangan mendedahkan nombor akaun, nombor pin, nombor TAC atau OTP kepada pihak ketiga.

“Jangan sesekali memberi pinjam, membenarkan atau membekalkan kad ATM bank kepada orang lain untuk digunakan bagi apa-apa jua urusan kerana pemilik akaun boleh disiasat dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

— BERNAMA

Sumber: Bernama