Selepas 83 tahun dihuni pemiliknya, sebuah rumah yang memiliki sejarah tersembunyi Perang Dunia Kedua di United Kingdom bakal dilelong dengan nilai 250,000 Pound Sterling (RM1.37 juta).
Uniknya, bahagian depannya kelihatan seperti rumah itu hanya satu tingkat dan sempit, namun apabila dilihat dari belakang sebenarnya tiga tingkat.
The Sun melaporkan, hartanah sempit berusia 160 tahun yang terletak di Southampton itu, memiliki tiga bilik tidur, tandas, dapur dan empat ruang khas.
Hiasan dalam rumah dilengkapi dengan sofa bermotif bunga, peralatan lama dan permaidani berwarna-warni.
Pemiliknya, Ernie Bartlett, 83, menghabiskan seluruh hidupnya menetap di rumah selepas mewarisinya daripada ibunya pada 1964.
Menurut anak saudara Ernie, Dean Jones, hartanah itu menjadi milik keluarga Bartlett kira-kira 100 tahun dan meramalkan ia dibina pada 1860.
“Pak cik saya tinggal di situ sepanjang hidupnya, dia seorang daripada 10 beradik yang menetap di situ.
“Saya juga ada kenangan ketika kecil yang saya sifatkan rumah itu macam sebuah negeri ajaib,” katanya kepada HampshireLive.
Katanya, hartanah terbabit menyimpan sejarah berdekad-dekad termasuk tiang putih di depan rumah itu.
“Awak masih boleh lihat di mana tempat mereka berlindung ketika perang.
“Pak cik saya juga suka mengumpul koleksi tentera, kapal, kereta api dan kereta.
“Rumah ini dah macam muzium,” katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/global/2020/11/645751/rumah-berusia-160-tahun-dijual-rm137-juta