‘Saya tidak terikat dengan tindakan mana-mana Speaker DUN’

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan beliau tidak terikat dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak lain termasuk Speaker di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berhubung usul undi percaya atau usul undi tidak percaya.

Pada masa sama, katanya, beliau tidak ada kuasa menentukan giliran sesuatu usul kerana ia dalam bidang kuasa menteri yang bertanggungjawab.

Justeru, katanya, beliau terikat dengan peraturan itu yang juga menjadi konvensyen.

“Pertamanya saya tidak tahu bagaimana usul percaya (kepada Menteri Besar) di DUN Perak ditangani oleh Speaker. Saya tidak tahu peraturan mesyuarat mana dan di bawah kuasa apa ia dinaikkan ke nombor satu. Saya tidak tahu.

“Kedua, saya tidak terikat dengan apa-apa tindakan Speaker lain lebih-lebih lagi Speaker DUN kerana saya kurang pasti bagaimana mereka melakukan perkara itu dan saya kurang pasti mengenai peraturan mesyuarat digunakan di setiap DUN.

“Ketiga, keputusan saya selama ini yang tidak menaikkan notis usul yang dicadangkan itu di dewan rakyat ini, saya bukan buat sesuka hati,” katanya menjawab isu dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) supaya Azhar mengambil maklum keputusan yang dibuat oleh Speaker DUN Perak membenarkan usul percaya dibuat terhadap Menteri Besar.

Mengambil keputusan di DUN Perak itu, Rayer bertanya sama ada pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri juga boleh dilakukan di Dewan Rakyat.

 

Mengambil contoh amalan yang dipraktikkan di Westminster United Kingdom (UK), Azhar berkata Speaker memang tidak memiliki kuasa untuk mendahulukan usul percaya atau tidak percaya ke nombor satu dalam aturan mesyuarat.

Justeru, beliau tidak faham kenapa ramai Ahli Parlimen, cendekiawan malah bekas Peguam Negara mendakwa Speaker mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Saya beri contoh pada 2018, (Ahli Parlimen UK) Jeremy Corbyn memfailkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Apabila usul itu tidak dinaikkan ke nombor satu, maka pada satu hari, seorang lagi Ahli Parlimen mereka bangun dan bertanya kenapa usul itu tidak dinaikkan ke nombor satu.

“Ini jawapan speaker… speaker mengatakan bahawa beliau belum mendapat apa-apa petunjuk bahawa kerajaan mahu menaikkan usul itu ke nombor satu. Itu konvensyennya yang kita semua turuti. Speaker tiada kuasa,” katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/762773/saya-tidak-terikat-dengan-tindakan-mana-mana-speaker-dun